SEORANG daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan berhampiran Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara tengah malam Rabu, Iqbal Hasnun Halimi, mahu mengikut jejak ibu bapanya menjadi guru agama selepas tamat pengajian nanti.
Ibu saudaranya, Siti Norassikin Paralan berkata, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam yang juga anak sulung daripada empat beradik itu merupakan harapan keluarga, lebih-lebih lagi bapa, Halimi Ali Yahid dan ibunya, Norlaila Paralan yang merupakan guru agama di Sekolah Islam Hidayah, Senai, Kulai.
"Iqbal sangat baik dan mesra dengan adik-beradik serta sepupu-sepupunya. Kehilangannya amat dirasai keluarga, kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Sabtu lepas semasa beraya,” katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham di Taman Impian Jaya.
Siti Norassikin berkata, berita pemergian anak buahnya itu diketahui awal pagi Khamis apabila mendapat panggilan telefon daripada Norlaila pada 5.30 pagi, yang mengatakan akan berangkat ke Hospital Kuala Kangsar bersama suami, adik ipar dan tiga anaknya.
"Kakak minta saya bantu uruskan hal-hal di sini. Kami masih menunggu berita selanjutnya daripada kakak dan abang ipar saya. Masa telefon tadi pun, kakak menangis, jadi saya tak sampai hati nak tanya lebih lanjut.
"Alhamdulillah, semua urusan tempat tinggal dan perkara lain diuruskan oleh universiti, jadi saya tak risau keadaan kakak sekeluarga di sana,” kata suri rumah itu.
Suasana di Hospital Kuala Kangsar pada Rabu. — Facebook
Sementara itu, nenek mangsa, Painam Selamat berkata, kali terakhir dia bertemu dengan cucunya itu ialah ketika keluarga anaknya berkunjung ke rumahnya untuk berhari raya di Kampung Parit Puteri Menangis, Benut, Pontian, baru-baru ini.
"Dia (Allahyarham Iqbal Hasnun) sempat minta nasi goreng, makanan kegemarannya. Dia memang manja,” kata neneknya yang berusia 82 tahun itu.
Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, arwah Iqbal Hasnun sering menjadi mentor kepada pelajar-pelajar junior dan selalu memberikan mereka nasihat supaya belajar bersungguh-sunguh.
"Arwah orang yang baik. Satu daripada sebab saya dapat habiskan pengajian diploma disebabkan dia membantu dalam pelajaran bahasa Arab dan tugasan lain,” katanya yang kini mengajar di Sekolah Agama Bandar Baru Uda.
Sementara itu, di Kuala Kangsar, Perak, Naib Pengerusi Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat USAS, Ainur A'fifah Zakaria, 21, berkata, Allahyarham Iqbal Hasnun yang juga Pengerusi Kor Sispa itu suka memberikan pertolongan kepada ahli sekiranya mengalami sebarang masalah.
"Kami dapat tahu mengenai pemergiannya daripada kumpulan WhatsApp awal pagi tadi...arwah dikenali sebagai pemimpin yang baik dalam kalangan penuntut USAS dan paling gigih berusaha yang terbaik untuk menyediakan keperluan pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar.
Kereta yang dinaiki mangsa terbakar dalam kemalangan berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar pada Rabu. — Facebook
Seorang rakan kuliahnya, Muhammad Alif Haiqal Jamal Amidy, 22, berkata, arwah ada merancang sebuah program percutian bersama rakan lain namun tidak kesampaian.
"Kali terakhir kami berjumpa ketika bulan Ramadan sebelum pulang untuk menyambut hari raya dan tiba-tiba saya dapat tahu mereka kemalangan menerusi pesanan kumpulan WhatsApp pengajian kira-kira pukul 1.49 pagi.
"Selepas itu saya cuba menghubungi Iqbal dan seorang lagi mangsa, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar namun tidak dapat dihubungi. Saya kemudian memperoleh maklumat dan pengesahan melalui seorang lagi rakan bahawa memang mereka terlibat dalam kemalangan," katanya.
Pada kejadian tengah malam tadi, Iqbal Hasnun, 23, bersama empat rakan serumahnya yang juga pelajar USAS rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Km 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar.
Turut terkorban ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Chukai, Terengganu; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram