Pengendali KUFC akui gelisah


  • Podium
  • Khamis, 12 Mei 2022

KUFC musim ini rata-rata dibarisi pemain muda yang kurang berpengalaman bermain dalam kesebelasan utama.

KETUA jurulatih Kelantan United (KUFC), Syamsul Saad masih belum berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan pemainnya dalam saingan Liga Premier musim ini.

Beliau berkata, walaupun pasukan tersebut kini berada pada kedudukan ketiga liga, masih terdapat kelemahan yang perlu dibaiki bagi menghadapi baki perlawanan serta mencapai sasaran untuk layak ke Liga Super, musim depan.

"Saya akui KUFC musim ini rata-rata dibarisi pemain muda yang kurang berpengalaman bermain dalam kesebelasan utama.

"Saya dan barisan kejurulatihan masih memerlukan masa bagi membentuk satu pasukan mantap menghadapi saingan liga yang masih panjang selepas ini,” katanya.

Selepas tujuh perlawanan, KUFC berada di tempat ketiga liga dengan mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Mengulas lanjut, Syamsul mahu pemain mudanya supaya cepat menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan supaya mudah berdepan cabaran pada aksi akan datang.

"Saya akui sedikit gelisah dengan aksi pemain ketika ini kerana tiga pasukan di belakang KUFC iaitu Kuching City FC, Terengganu II dan Selangor II masih mampu memintas kita,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, bola sepak, kufc, liga premier, Syamsul Saad,