PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalam perlawanan Liga Super pada malam Rabu nampaknya tidak memberi kepuasan kepada pihak lawan.
Dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) itu, skuad kendalian Benjamin Mora Mendivil itu berjaya menghasilkan gol melalui sepakan Fernando Martin Forestieri pada 10 minit masa tambahan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat Seremban, Negeri Sembilan.
Tambahan masa tiga minit diberi sebelum separuh masa pertama tamat.
Ketika babak kedua permainan, pengadil perlawanan telah memberikan tambahan masa sebanyak 10 minit.
Perkara itu dilihat tidak digemari oleh pengendali NSFC, K. Devan yang menganggap tempoh itu sebagai peluang terbaik buat JDT menjaringkan gol.
Malahan, Matheus Alves telah dilayangkan kad merah kerana melakukan protes kasar terhadap pengadil perlawanan.
Aksi kurang profesional beberapa pemain Skuad Jang turut terakam ketika masing-masing berang dengan tindakan pengadil, memberikan masa tambahan yang lama. Insiden tersebut berlaku usai wisel penamat dibunyikan.
Ini termasuk kapten NSFC, Zaquan Adha yang dilihat meludah dan membaling bid kepada pengadil perlawanan.
Mengulas mengenai perkara itu, JOHORean Sport Team menyifatkan tindakan pemain berusia 35 tahun itu sebagai sangat keterlaluan.
"Taktikal sendiri yang mengundang padah dengan sengaja melambat-lambatkan perlawanan dan buat drama tengah padang.
"Jadi, adalah betul tindakan pengadil menambah minit permainan dan ianya bukan dari keputusan pengadil di tengah padang sahaja, tetapi dari Komisioner Perlawanan serta pengadil dari luar padang yang melihat perjalanan serta kelancaran perlawanan," kata kelab penyokong itu menerusi hantaran di laman Facebook.
Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, pemain NSFC beberapa kali dilihat cuba untuk melengahkan masa dengan banyak kecederaan dialami para pemain.
Penjaga gol NSFC, Syihan Hazmi antara yang mencuri tumpuan, bijak mencari peluang untuk melambatkan permainan.
Perkara itu jelas tidak dipersetujui pengendali JDT, Benjamin Mora yang seakan berang dengan sikap para pemain NSFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram