Punca bayi 11 bulan maut di rumah pengasuh masih disiasat


  • 112
  • Rabu, 11 Mei 2022

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. — Gambar hiasan

SEORANG bayi lelaki berusia 11 bulan dikejarkan ke hospital, selepas didapati tidak sedarkan diri di rumah pengasuh di Kajang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pemeriksaan pegawai perubatan dari Hospital Serdang mengesahkan bayi tersebut meninggal dunia.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan dari hospital berkenaan pada Isnin, yang memaklumkan seorang bayi dibawa ibunya dari rumah pengasuh dalam keadaan tidak sedarkan diri dan didapati tidak bernafas.

"Kita telah mengambil keterangan daripada pengasuh dan setakat ini siasatan masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian bayi tersebut.

"Bedah siasat telah dijalankan pada hari ini (10 Mei) dan dimaklumkan pending laboratory analysis (menunggu analisis makmal)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid mengesahkan setakat Selasa tiada sebarang tangkapan dibuat.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau mana-mana balai berhampiran dengan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pengasuh, bayi maut, Kajang, tak sedar diri