Tergamak buang bayi bertali pusat di Taman Puchong Indah


  • 112
  • Jumaat, 06 Mei 2022

BAYI tersebut ditemukan dalam kawasan semak samun dan gelap.

SEORANG bayi lelaki baru lahir ditemukan dalam keadaan dibungkus dengan beg plastik hitam di belakang deretan rumah teres di Taman Puchong Indah, Selangor pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menemui bayi itu pada pukul 9.24 malam Khamis.

“Bayi itu berlumuran darah dan masih bertali pusat.

"Kami percaya bayi itu dilahirkan kurang 24 jam sebelum ditemukan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu menemukan bayi tersebut di kawasan yang penuh semak itu selepas mendengar bunyi tangisan.

"Bayi itu telah dihantar ke Hospital Serdang untuk penilaian dan rawatan perubatan.

"Pemeriksaan doktor mendapati bayi itu seberat 2.1 kilogram (kg) dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, bayi itu kini dirawat di taska penjagaan khas di hospital itu.

"Kami mengklasifikasikan kes itu sebagai menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616 atau pusat kawalan polis Subang Jaya di talian 03-56210343," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram