Terima nasihat seseorang, Nad Zainal bawa berubat anak sampai ke Tapah


  • Hiburan
  • Rabu, 11 Mei 2022

Nad sentiasa berdoa agar anaknya sembuh daripada penyakit ekzema.

SEORANG ibu akan melakukan apa sahaja untuk anaknya yang tercinta, itu yang dilakukan oleh aktres, Nad Zainal buat anak keduanya, Budi Kalsom yang mempunyai penyakit ekzema.

Menerusi perkongsian di Instagram, Nad memberitahu bahawa dia membawa anaknya hingga ke Tapah, Perak, untuk mendapatkan rawatan bagi puterinya itu.

Berkongsi bagaimana dia mendapat tahu tentang klinik berkenaan, Nad atau nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin mengatakan dia diberitahu oleh seseorang yang ditemui ketika berjalan di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

"Semasa berjalan-jalan keluarkan peluh, singgah Titiwangsa jumpa hamba Allah baik hati, dia berniaga di sana, katanya anaknya semasa bayi menghidap ekzema kronik, bernanah, kaki naik hancur sampai doktor beri amaran jika tidak masuk boleh sampai tahap kena potong.

"Sekarang anak dia sudah besar dan belajar di sekolah rendah, bebas dari ekzema, katanya dia sanggup (waktu tiada kereta) naik bas kerana orang kata ada satu klinik di Tapah," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga ada melihat kesan parut lama anak individu tersebut yang mana membuatnya untuk berikhtiar dan cuba membawa anaknya mendapatkan rawatan di sana.

Katanya lagi, bagi merawat penyakit ekzema yang dihidapi anaknya dia pergi ke klinik berkenaan tidak lama selepas pertemuan tersebut.

Jelasnya lagi, selepas mendapatkan rawatan dia sangat bersyukur anaknya tidak menghidap ekzema yang kronik, bagaimanapun doktor menyarankannya supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

WhatsApp Image 2022-05-10 at 8.04.02 PM

Sementara itu menerusi perkongsian di Instastory, Nad turut berkongsi bahawa dia sudah menyimpan barangan rumah yang boleh mengundang habuk sebagai langkah bagi membendung ekzema puterinya daripada menjadi lebih teruk.

Nad juga mengakui sukar apabila mempunyai anak yang menghiap ekzema, namun dia tidak pernah putus berdoa agar anaknya sembuh daripada penyakit berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram