Budak dua tahun maut, lima melecur rumah terbakar di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 28 Apr 2022

Mangsa kebakaran yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan. — Sinar Harian

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala lima lagi cedera dalam kebakaran dua rumah jenis Semi-D setingkat di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di Kuantan, Pahang awal pagi Khamis.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki, dua wanita serta seorang bayi perempuan berusia lapan bulan.

"Bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 3.15 pagi dan kebakaran melibatkan rumah jenis Semi-D dengan sebuah daripadanya terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi musnah 90 peratus.

"Turut terjejas dalam kebakaran itu ialah tiga kenderaan dengan satu daripadanya hangus sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ismail berkata, dua jentera bomba dan sebuah lori tangki air bersama-sama kekuatan 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan serta Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, kebakaran, maut, rumah, musnah, kerugian