KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) digesa supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa inkuiri khas berhubung insiden kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penubuhan inkuiri itu adalah penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut selain mengelakkan perkara sama berulang terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini.
"Pada dasarnya, KKM dan pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku,' kata Kon Yeow.
Dalam masa sama, KKM juga digesa untuk mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu terutamanya membabitkan tempoh masa penugasan doktor-doktor di institusi-institusi perubatan kini.
Kon Yeow menambah, KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara itu berterusan.
"Strategi serta jalan penyelesaian yang wajar perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan negara kita secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, FMT melaporkan beberapa individu yang pernah dan sedang menjadi doktor pelatih berkongsi pengalaman sendiri berhubung perkara yang dilihat oleh pengkritik sebagai budaya buli yang berleluasa di hospital awam.
Kebanyakan responden mendakwa, ia adalah pengalaman perit dan Hospital Pulau Pinang merupakan 'hospital paling teruk' untuk doktor pelatih di negara ini.
Hampir semua mendakwa mereka dibebankan dengan kerja yang terlalu banyak, didera dan dibuli oleh kakitangan hospital termasuk jururawat.
Isu itu terbongkar berikutan kematian seorang doktor pelatih yang meninggal dunia setelah ditemukan terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin mengesahkan mangsa merupakan pegawai perubatan siswazah yang ditempatkan bekerja di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu.
Kejadian itu dipercayai kematian kedua membabitkan seorang doktor pelatih dalam tempoh dua tahun.
Pada Disember 2020, seorang doktor yang telah meletak jawatan dari hospital sama dilaporkan meninggal dunia secara mengejut.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, KKM perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas untuk menentukan kebenaran.
"Kematian mengejut dua doktor pelatih ini mengundang misteri dan misteri itu harus dirungkai," katanya yang juga bekas pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.
Begitu juga, Setiausaha Bahagian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang K. Veeriah yang menyokong gesaan supaya satu suruhanjaya siasatan diwujudkan berhubung isu itu.
Beliau berkata, waktu bekerja yang berlebihan dan panjang mengakibatkan kemerosotan kesihatan fizikal dan mental, manakala bekerja dalam keadaan penderaan dan ugutan membawa kepada tekanan mental.
"Bekerja antara 12 dan 16 jam sehari adalah tidak berperikemanusiaan dan pelanggaran berat terhadap norma asas persekitaran kerja yang baik, selamat dan sihat," kata Veeriah.
"Dalam keadaan sedemikian saya berpendapat bahawa Menteri Kesihatan mesti memulakan suruhanjaya siasatan untuk melihat keadaan kerja dalam usaha membetulkan keadaan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
