Wanita selamba cop parkir di Queensbay Mall, padahnya kena hon berkali-kali


  • Tular
  • Khamis, 05 Mei 2022

Tangkap layar rakaman dashcam yang menunjukkan seorang wanita berdiri di atas kotak parkir di Queensbay Mall, Bayan Lepas baru-baru ini.

WALAUPUN Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkali-kali mengingatkan orang ramai supaya tidak menanda parkir, perkara itu masih berlaku dalam kalangan masyarakat.

Satu video tular pada Rabu menunjukkan kejadian menanda parkir meilbatkan seorang wanita di sebuah pusat beli-belah.

Menerusi video tersebut, seorang pemandu kereta dilihat mahu meletakkan kenderaannya di kawasan parkir yang dikosongkan oleh sebuah kereta lain.

Namun, seorang wanita dilihat berdiri di parkir tersebut dan enggan berganjak menyebabkan pemandu terbabit tidak dapat memarkir keretanya dalam petak kosong itu.

Bengang dengan tindakan wanita itu pemandu berkenaan telah membunyikan hon berkali-kali menyebabkan wanita terbabit akhirnya berlalu pergi.

Video berkenaan dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan pemandu itu.

Menurut orang awam, kejadian dikatakan berlaku di Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan, perbuatan menanda parkir sama ada dengan meletakkan barang atau berdiri di atasnya adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hukuman bagi pesalah ditetapkan dibawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram