Urus niaga dadah bermasalah punca lelaki ditembak mati di bilik hotel Bukit Bintang


  • 112
  • Khamis, 05 Mei 2022

SEORANG lelaki Johor mati ditembak di sebuah bilik hotel di Jalan Bukit Bintang pada malam Rabu. — Ihsan polis

URUS niaga dadah bermasalah membawa kepada pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan dengan kesan tembakan di dahinya di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa (3 Mei).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan menunjukkan mangsa mempunyai 13 rekod lampau bagi kes dadah, pembunuhan dan penculikan.

“Majoriti rekod terdahulunya adalah kesalahan berkaitan dadah.

“Berdasarkan siasatan kami, mangsa berada di hotel itu bersama tiga lelaki lain pada Selasa,” katanya kepada pemberita pada Khamis (5 Mei).

Azmi berkata, sejurus selepas mayat ditemui, polis dari Unit Jenayah Berat (D9) menahan seorang lelaki berusia 49 tahun, yang dipercayai suspek utama, kira-kira 7.40 malam pada hari sama.

“Berdasarkan soal siasat, polis menahan dua lagi lelaki berusia 47 dan 51 tahun di Puchong, kira-kira pukul 7 malam Rabu (4 Mei).

“Berdasarkan soal siasat kedua-dua suspek membawa kami kepada penemuan revolver a.38 dan Beretta semi-auto serta 14 butir peluru,” katanya sambil menambah satu daripada pistol itu dipercayai senjata pembunuhan.

Azmi berkata, pistol itu akan dihantar untuk analisis balistik.

Beliau berkata, pemeriksaan latar belakang menunjukkan suspek utama berasal dari Johor dan mempunyai tujuh rekod dadah sebelum ini.

“Kami akan memohon perintah reman terhadap dua lagi suspek.

“Kita percaya ketiga-tiga suspek dan mangsa yang juga berasal dari Johor telah pergi ke hotel berkenaan untuk berbincang mengenai urusan dadah apabila ditembak mati,” katanya.

Menurut Azmi lagi, dengan penahanan tiga suspek dan rampasan dua pistol berkenaan, polis percaya kes itu telah selesai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram