'Rider' maut di Paya Terubong ada lesen sah, mayat dicam kakak


  • 112
  • Rabu, 04 Mei 2022

Seorang penunggang motosikal bertembung dengan sebuah kereta di Paya Terubong. — Facebook

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Paya Terubong, di Pulau Pinang dalam kejadian pada pukul 7.13 pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, mangsa Muhammad Rasyad Mohamed Salim, 20, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada badannya.

Menurutnya, semakan mendapati mangsa yang berasal dari Gelugor itu mempunyai lesen memandu yang sah.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19. Mayat mangsa telah dicam oleh kakaknya.

"Sementara itu, pemandu kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, kejadian berlaku ketika kereta dipandu wanita tersebut berada di sebuah selekoh di Jalan Paya Terubong.

"Daripada keterangan wanita dan semakan 'dashcam' kereta berkenaan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 itu datang dari arah Relau menghala ke Pekan Air Itam telah memasuki laluan kereta tersebut.

"Akibat dari itu, mangsa telah merempuh kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan dia tercampak ke atas cermin depan kereta tersebut.

"Mangsa yang cedera parah telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Terdahulu Majoriti melaporkan, satu klip video berdurasi 33 saat dipercayai dari rakaman 'dashcam' kereta yang dirempuh mangsa, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram