PENDUDUK di daerah Kluang, Johor dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik sepasang suami isteri dipercayai berketurunan Arab yang dikatakan suka memperdaya penduduk setempat dengan mereka-reka cerita sedih bagi mendapatkan duit.
Info tersebut dikongsikan admin Facebook Aku Budak Kluang (ABK) pada Khamis.
Pasangan itu dikatakan memberi pelbagai alasan untuk mendapatkan simpati orang ramai semata-mata kerana duit.

Perkongsian mengenai taktik pasangan berketurunan Arab yang dipercayai memperdaya mangsa bagi mendapatkan duit. — Facebook
Mereka antara lain dikatakan memberi alasan 'kad pengenalan kena curi' dan 'lapar tak makan' sebagai modal mendapatkan wang.
"Hati-hati dengan Pak Arab ini. Minta duit alasan macam-macam, alasan anak bini tak makan, kad pengenalan kena curi, nak buat pasport, beg duit kena curi, nak balik tak ada duit dan lain-lain.
"Ramai dah jadi mangsa dia. Semalam, sahabat ABK ada terjumpa, dia minta duit di Shell sebelah McDonald's Simpang Renggam," katanya.
Admin ABK turut berkongsi beberapa keping gambar pasangan terbabit yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Avanza berwarna kelabu dengan plat BKB 35**.
Seorang pengguna Facebook, Arun Raj mendakwa dia turut menjadi mangsa pasangan Arab itu ketika kejadian di Tol Skudai.
"Saya dah kena semalam dekat Tol Skudai. Dipukau saya, habis duit. (Saya sudah) buat laporan polis," dakwanya.

Perkongsian salah seorang mangsa yang dipercayai tertipu dengan pasangan berketurunan Arab itu. — Facebook
Seorang lagi pengguna Facebook, Aleeya Humaira turut menceritakan bagaimana dia menjadi mangsa kepada pasangan terbabit.
"Aishhh saya dah terkena...masa tu kat hentian sebelah Simpang Renggam. (Kejadian) pada petang Ahad sebelum raya.
"Saya bagi RM50...saya fikir kasihan bulan Ramadan nak buka puasa nanti, dia cakap dompetnya hilang dan tunjuk laporan polis. Dia datang mendekati kereta saya dan cakap dari dalam kereta.
"Isteri dia pun ada muka orang Arab juga," dakwanya sambil menambah pasangan itu dikatakan mempunyai seorang anak remaja perempuan.
Sementara itu, pengguna Facebook, Fari Dah turut mendakwa pernah terjumpa pasangan itu yang merayu meminta tolong daripadanya.
"Saya pernah jumpa orang ni dia merayu minta tolong... macam-macam cakap tiada duit laa, nak makan tak ada duit... Siap minta RM100, bagi RM10 tak nak," dakwanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
