Apa pelan kecemasan KPM jika ada kes baharu Covid-19 di sekolah?


  • Massa
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Mulai 12 Jun depan, pelajar diwajibkan memakai pakaian seragam bermula selain mematuhi garis panduan potongan rambut ke sekolah.

SISTEM persekolahan di negara ini sudah kembali kepada amalan persekolahan sebelum pandemik Covid-19, dengan sedikit peraturan tambahan termasuk ujian kendiri dan amalan kawalan kendiri.

Malah, sistem persekolahan juga sudah kembali seperti biasa apabila kehadiran ke institusi itu telah kembali diwajibkan.

Perkara itu seperti disampaikan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi pengumuman Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah 4.0 pada Khamis.

Namun, Dr Anuar Ahmad berkata, satu perkara yang tidak disentuh oleh Radzi adalah berkaitan pelan kecemasan atau contingency plan untuk tindakan pihak sekolah, ibu bapa dan murid-murid, sekiranya sekolah berhadapan dengan penularan kes baharu Covid-19.

Pakar pendidikan itu berkata, meskipun kes baharu Covid-19 semakin menurun, ia masih melepasi empat angka, dengan jangkitan baharu pada 28 April adalah sebanyak 3,471 kes manakala 161 kes telah dirujuk ke hospital.

"Ini menunjukkan situasi masih belum selamat. Bagi memastikan tahap keselamatan murid-murid terpelihara, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) sepatutnya memasukkan maklumat pelan kecemasan sebagai sebahagian daripada Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

41641109362_TBANUARAHMAD (1)

Anuar Ahmad berkata, sebahagian murid kehilangan motivasi belajar dan memerlukan sokongan emosi bagi tempoh panjang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas genap dua tahun pandemik melanda negara, kesan kepada sektor pendidikan sangat ketara.

Ini termasuk sekolah ditutup lebih 250 hari selain Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) disahkan oleh KPM sebagai kurang berkesan.

Katanya, perkara itu menyebabkan berlaku keciciran pembelajaran dalam skala besar, khususnya dalam kalangan murid-murid miskin di bandar dan di pedalaman.

Bukan itu sahaja, dakwanya, sebahagian murid kehilangan motivasi belajar serta memerlukan sokongan emosi bagi satu tempoh masa panjang, sehingga mereka kembali dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa.

"Sepatutnya data-data terkini 'baseline' impak pandemik Covid-19 terhadap sektor pendidikan negara seperti data keciciran pembelajaran dan data pencapaian pembelajaran murid-murid dimaklumkan secara jelas dalam garis panduan pengoperasian sekolah ini sebagai makluman ibu bapa.

"Berdasarkan data-data 'baseline' tersebut, ibu bapa tentu ingin tahu apakah langkah-langkah pemulihan yang akan dilaksanakan oleh KPM apabila sekolah dibuka semua seperti biasa," katanya.

Rancangan KPM teruskan pembelajaran hibrid

Selain itu, Anuar Ahmad mempersoalkan sekiranya KPM mempunyai rancangan untuk meneruskan sistem pembelajaran hibrid meskipun kehadiran ke sekolah telah diwajibkan.

Apatah lagi, katanya, sebanyak 150,000 peranti dan komputer riba telah diedarkan kepada murid-murid sebelum ini.

"Begitu juga dengan pembelian peranti oleh ibubapa untuk anak-anak mereka melakukan PdPR," katanya.

Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada usaha pendigitalan pendidikan akan dipinggirkan dan dikuburkan selepas sesi persekolahan kembali seperti biasa.

"Di saat sistem pendidikan di negara-negara maju mula mengamalkan pendigitalan pendidikan sepenuhnya dalam sistem persekolahan mereka, apakah agenda pendigitalan pendidikan negara kita bergerak ke arah yang sama pasca pandemik Covid-19?

"Atau sistem pendidikan negara kita akan kembali ke belakang semula selepas ini?" soalnya.

Terdahulu, Radzi berkata, pelitup muka masih wajib dipakai ketika berada di kawasan tertutup dalam premis sekolah kecuali dalam situasi tertentu berkuat kuasa 1 Mei ini.

Beliau berkata, pengecualian pemakaian pelitup muka antara lain adalah ketika bersendirian, ketika guru mengajar dalam kelas, individu berkeperluan khas, individu yang mengalami masalah pernafasan, semasa melakukan aktiviti sukan dan rekreasi dan melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

"Pemakaian pelitup muka adalah digalakkan ketika berada di luar bangunan dan kawasan terbuka dalam premis sekolah atau ketika sedang melakukan aktiviti secara berkumpulan," katanya.

Radzi berkata, penjarakan fizikal yang menetapkan jarak satu meter antara satu meja dengan meja yang lain sebelum ini, dimansuhkan, selain imbasan kod QR MySejahtera juga tidak diwajibkan apabila memasuki premis institusi pendidikan.

Tambahnya, kehadiran murid, guru, pegawai pengurusan dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) ke sekolah adalah diwajibkan dan perlu melakukan ujian kendiri Covid-19 sekiranya bergejala.

Bagi pengurusan murid bergejala dan positif Covid-19, Radzi berkata, murid berkenaan perlu diasingkan di bilik isolasi terlebih dahulu.

Katanya, pelajar juga diwajibkan memakai pakaian seragam bermula 12 Jun depan selain mematuhi garis panduan potongan rambut ke sekolah.

Katanya, seluruh warga institusi pendidikan dibenarkan makan di kantin atau kafeteria sekolah.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan surau dan masjid, beliau berkata, solat boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

"Jemaah luar dibenarkan solat Jumaat dalam kawasan institusi pendidikan dan murid asrama dibenar menunaikan solat Jumaat di luar kawasan institusi pendidikan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram