Cikgu berdegil buat 'live' ketika mengajar, berdepan saman RM177,000


  • Massa
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Tangkap layar video guru-guru yang bersiaran langsung di TikTok ketika sesi PDP.

SEJAK kebelakangan ini, segelintir guru yang aktif membuat rakaman video selain bersiaran secara langsung (live) ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) di aplikasi TikTok, sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan warga maya di negara ini.

Ada yang menganggap ia merupakan kaedah pengajaran yang berkesan, berikutan semakin ramai pengguna laman sosial dilihat menggunakan TikTok sebagai platform untuk meluaskan rangkaian mereka.

Selain itu, ada yang menganggap tindakan itu mampu menyebarkan ilmu kepada orang ramai.

Tetapi ada juga yang tidak bersetuju dengan sesi rakaman video dan live ketika PDP, yang mana ia seolah-olah cubaan guru terbabit mencari populariti dan perhatian orang ramai, selain mengganggu privasi para pelajar yang berada di dalam kelas.

Mengulas lanjut isu itu, seorang pengguna Facebook, Asraff Jeffery memberi amaran kepada guru-guru terbabit supaya berhati-hati agar tidak disaman.

Asraff Jeffery berkata, sebelum ini Google dan YouTube disaman sebanyak AS$170 juta (RM719 juta) kerana melanggar Akta Privasi Kanak-Kanak Secara Online (COPPA).

"Selepas didenda, YouTube terus asingkan video kanak-kanak atau bukan (kanak-kanak).

"Kalau ada YouTuber yang melanggari akta baru YouTube yang diarahkan oleh COPPA, YouTuber tersebut akan didenda sebanyak AS$42,000 bersamaan RM177,000. Akta ini perlu dipatuhi oleh semua YouTuber segenap dunia," katanya.

Jelasnya, apa yang dilakukan oleh guru-guru di Malaysia sebenarnya merupakan perkara sama, iaitu menyalahi COPPA meskipun ingin mengutip derma dan membantu kanak-kanak susah yang lain.

Sekiranya ada peguam yang rajin, katanya, mereka akan memburu satu persatu guru yang membuat live dan mengambil komisyen daripada agensi terlibat yang membuat aduan.

"Jadi, ada baiknya cikgu-cikgu yang membaca post (hantaran) ini hentikan apa yang anda buat dan delete (padam) sebarang rekod yang ada.

"Mungkin anda fikir ini adalah perkara yang remeh tapi anda akan tahu remeh atau tidak bila disaman nanti. RM177,000 bukan satu angka yang kecil. Beringat sebelum kena," tambahnya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pelajaran, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa pegawai awam dilarang menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi ketika waktu pejabat.

Beliau turut memaklumkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyiasat kes berkenaan untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram