Sultan Nazrin perkenan solat Aifilfitri di kawasan lapang, tanpa jarak fizikal


  • Primer
  • Selasa, 26 Apr 2022

Solat Sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau di Perak. — Bernama

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda bertitah kebenaran itu dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.

"Selain itu, solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau. Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah.

"Hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau boleh dilakukan secara terbuka atau bufet dan aktiviti ziarah kubur turut dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, bermula solat Maghrib pada Khamis, hidangan jamuan secara terbuka sudah boleh diadakan di masjid dan surau.

Menurut Mohd Annuar, baginda menzahirkan titah tersebut berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Tegasnya, semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera.

"Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram