Mulai 1 Mei boleh bersalaman, tak perlu lagi imbas kod MySejahtera


  • Primer
  • Rabu, 27 Apr 2022

KKM umum SOP baharu ketika negara memasuki peralihan fasa endemik.

NEGARA memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu dan pelbagai kelonggaran dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh ini.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan beberapa langkah baharu selepas mengambil kira situasi Covid-19 negara yang terkawal.

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, beberapa kelonggaran yang diumumkan diharap dapat terus mengukuhkan pemulihan negara.

Antara langkah yang diumumkan oleh KKM dan berkuatkuasa pada 1 Mei adalah:

Pemakaian pelitup muka di kawasan sesak masih diwajibkan.

1. Pemakaian pelitup muka

Antara pengumuman yang ditunggu oleh orang ramai adalah pemakaian pelitup muka.

Khairy mengumumkan pelitup muka adalah diwajibkan ketika berada dalam kawasan tertutup atau ketika menaiki pengangkutan awam.

Namun pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka adalah atas pilihan masing-masing namun digalakkan untuk terus memakainya.

Berdasarkan respons yang dilihat oleh Majoriti di media sosial sejak beberapa hari lalu, rata-rata warganet masih ingin pemakaian pelitup muka terus dilaksanakan meskipun di kawasan terbuka.

Menurut pengguna Twitter, @JerriesonPD, sepatutnya KKM meletakkan standard penggunaan pelitup muka baik dalam bangunan atau luar bangunan.

"Jangan ada kompromi. Make it simple. Rakyat senang ikut," katanya.

Screenshot 2022-04-27 172515

Orang ramai tidak perlu lagi mengimbas kod QR MySejahtera.

2. Imbasan kod QR MySejahtera

Imbasan MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.

Namun ujar Khairy, orang ramai dinasihati agar mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

Tambahnya, individu yang positif Covid-19 dan diberi arahan kuarantin dari rumah, tidak dibenarkan memasuki premis.

Namun, langkah itu juga menerima pelbagai pandangan daripada warganet.

Menurut pengguna Twitter, @mir_syerap, protokol baharu yang diumumkan lebih mudah berbanding sebelum ini.

"Hanya tunjukkan muka depan MySJ (status Covid-19 dan status vaksinasi). Lebih mudah," ujarnya.

Bagi pengguna Twitter, @Burningsunz, langkah baharu itu disifatkan tidak masuk akal.

"Kalau tidak log masuk, bagaimana orang ramai nak tahu sama ada individu itu berisiko tinggi atau positif Covid-19?" soalnya.

Screenshot 2022-04-27 172703

Aktiviti bersalaman dibenarkan namun digalakkan untuk mencuci tangan selepas itu. — Bernama

3. Etika salam dan penjagaan kebersihan tangan

Khairy turut mengumumkan orang ramai kini dibenarkan untuk bersalaman sesama sendiri namun digalakkan sentiasa mencuci atau membersihkan tangan selain tidak menyentuh muka selepas itu.

Secara faktanya, tangan merupakan 'ejen' paling utama dalam menyebarkan virus.

Penularan virus akan berlaku dengan pantas sekiranya aktiviti bersalaman dibenarkan kerana kita tidak mengetahui sama ada individu terbabit sudah mencuci tangannya atau menyentuh objek-objek lain yang berisiko.

Dalam soal ini, setiap individu perlu bertanggungjawab serta berdisiplin dan kerap mencuci tangannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram