Majukan sistem pendidikan, kerajaan perlu fikir 'luar kotak'


  • Massa
  • Rabu, 27 Apr 2022

Aktiviti kokurikulum perlu mendapat penglibatan secara langsung daripada NGO. — Gambar hiasan

SISTEM pendidikan negara ini terus menerus menerima kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pendidik sendiri.

Meskipun sistem pendidikan negara dilaksanakan sejak 1950-an, namun masih banyak 'lopong' yang perlu diperbaiki sebelum bidang ini mampu menjadi antara yang terbaik di dunia.

Menurut Pensyarah Pusat Kajian dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, sistem pendidikan negara sekiranya ingin menjadi maju, pemimpinnya perlu bersedia berfikir luar kotak.

"Pemimpin juga perlu berani mengambil risiko, bersedia menerima kritikan dan terbuka bekerjasama dengan pelbagai pihak demi kebaikan pendidikan anak-anak.

"Sudah sampai masanya sistem pendidikan kita perkasakan keterlibatan komuniti dalam sekolah bagi aktiviti kokurikulum murid-murid.



Sistem pendidikan negara masih jauh dibandingkan negara maju lain. — Bernama

"Alangkah baiknya aktiviti kokurikulum sekolah dibimbing dan diurus oleh agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertauliah peringkat daerah bersama pihak sekolah sebagai tanggungjawab sosial (CSR).

"Malah ini sudah lama menjadi amalan pendidikan di negara maju.

"Ya, sekarang pun memang sedikit sebanyak sudah ada usaha ini.

"Namun rata-ratanya, gurulah yang lebih dominan dalam menguruskan aktiviti kokurikulum murid-murid," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Namun ujarnya, idea luar kotak seperti itu pasti akan dinilai, dikritik malah ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan serta hujah oleh banyak pihak.

"Tetapi jika kita mahu melihat secara positif sebagaimana impaknya di negara maju, kita pasti bersedia untuk mencuba.

"Apatah lagi jika kita melihat ada kesan yang baik kepada pemikiran serta motivasi pembelajaran murid-murid," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram