Ikat jamin cecah RM1 juta, Nicky Liow mengaku tidak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram


Liow hadir ke mahkamah dalam keadaan bergari memakai seluar hitam dan berbaju hitam. — The Star

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam Selangor mendakwa ahli perniagaan, Nicky Liow atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta pada Selasa.

Tertuduh yang berusia 34 tahun dihadapkan dengan 25 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan selebihnya di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Tertuduh yang sebelum ini melarikan diri daripada polis selama lebih setahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Helina Sulaiman

Pengasas Winner Dynasty Group itu menganggukkan kepalanya dan berkata "Saya faham" dalam bahasa Mandarin apabila ditanya sama ada dia faham apa yang dibacakan kepadanya sebelum menuntut dibicarakan bagi kesemua 26 pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria meminta mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dengan mengatakan Liow dituduh melakukan kesalahan tanpa jaminan dan terdapat risiko dia mungkin melarikan diri.

“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengesan tertuduh melalui siaran media, notis merah Interpol dan waran tangkap bagi membawa tertuduh hadir ke mahkamah,” kata Rozaliana.

Peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili tertuduh pula berkata, Liow perlu diberi jaminan RM500,000 atau jumlah kurang daripada RM1 juta dengan dua penjamin kerana anak guamnya secara sukarela menyerahkan diri kepada polis pada Isnin (11 April 2022).

Rajpal berkata, dalam kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi, kedua-dua individu diberi jaminan berjumlah kira-kira 1 peratus daripada jumlah yang terlibat dalam jenayah yang didakwa.

Rajpal mewakili Liow bersama-sama Jay Moy Wei Jiun dan Mardhiyah Siraj manakala Rozaliana pula turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous dan Syafinas Shabudin.

Helina menetapkan ikat jamin RM1 juta dan memerintahkan Liow menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melaporkan dirinya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dua minggu sekali.

Beliau juga menetapkan tarikh 26 Mei 2022 untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Liow dihadapkan ke mahkamah dalam keadaan bergari memakai seluar hitam dan berbaju hitam.

Bekas Datuk Seri itu menyerah diri di Bukit Aman pada Isnin (11 April 2022).

Liow didakwa sebagai ketua Macau Scam telah ditarik balik gelaran Datuk Seri oleh istana Pahang pada April tahun 2021. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram