Rompak bank guna nota dan pistol mainan, warga emas hanya sempat seronok 7 jam sebelum kena cekup


  • Benua
  • Selasa, 19 Apr 2022

Polis berjaya menjumpai pistol mainan yang digunakan dalam rompakan itu, sejumlah wang yang dicuri dan pakaian yang dipakainya di bank.

SEORANG lelaki warga Singapura berusia 73 tahun didakwa pada Isnin kerana merompak sebuah bank dan tinggal lebih masa di Hong Kong selama lebih 10 tahun.

Lelaki itu dilaporkan merompak sebuah bank di Nathan Road di Hong Kong pada 14 April 2022 kira-kira pukul 3.30 petang, dan melarikan wang tunai kira-kira HK$14,000 (RM7,589), menurut polis Hong Kong.

Bercakap kepada media selepas menahan lelaki itu, Superintendan Alan Ching dari unit jenayah wilayah Kowloon West berkata, suspek telah mengacukan objek seperti pistol.

Berdasarkan laporan media tempatan, warga tua itu ke kaunter di China Construction Bank (Asia) di Yau Ma Tei dan menyelitkan sekeping kertas kepada juruwang bank.

Nota itu berbunyi: "Saya sedang merompak, saya mempunyai pistol."

Dia kemudian menghalakan objek seperti pistol itu ke arah juruwang semasa dia membaca nota itu, dan memberikan beg hitam kepadanya.

Pelanggan di kaunter sebelah tidak menyedari rompakan yang berlaku di sebelahnya.

Selepas mendapat wang berkenaan, lelaki itu kemudian melarikan diri dari bank dan menaiki bas awam menuju ke Ma On Shan.

Pencarian suspek di seluruh Hong Kong telah dijalankan, dan lelaki itu ditahan tujuh jam kemudian di rumahnya di perkampungan Yuen Kong di Yuen Long.

Polis Hong Kong pada mulanya mengenal pasti lelaki itu sebagai seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dengan "berbadan tegap", lapor media tempatan.

Selepas menahan lelaki itu di rumahnya, polis turut berjaya menjumpai pistol mainan yang digunakan dalam rompakan itu, sejumlah wang yang dicuri dan pakaian yang dipakainya di bank.

Polis menambah bahawa lelaki itu telah tinggal lebih masa di Hong Kong selama lebih 10 tahun, dan tinggal bersama isterinya yang mempunyai kad pengenalan Hong Kong yang sah.

Menurut polis lagi, lelaki itu berkemungkinan dikaitkan dengan cubaan merompak di sebuah farmasi di Mong Kok pada 2020, di mana perompak itu menggunakan pemetik api untuk mendapatkan wang daripada farmasi itu.

Difahamkan lelaki itu menganggur dan mempunyai hutang ratusan ribu dolar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram