Tawaran beli Twitter dipersetujui, ini plan Elon Musk


  • Berita
  • Selasa, 26 Apr 2022

Elon Musk mahu melakukan transformasi dalam Twitter.

SELEPAS menolak tawaran untuk menyertai barisan lembaga pengarah Twitter, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk menawarkan pula untuk membeli Twitter.

Menurut Elon, ada sebab mengapa dia mahu membeli Twitter memandangkan kerusi pengarah yang ditawarkan akan mengehadkan kepentingannya di bawah 15 peratus.

"Sejak membuat pelaburan, saya sedar syarikat ini tidak akan berkembang atau memenuhi keperluan masyarakat dalam bentuk semasanya.

"Twitter perlu ditransformasikan," katanya dalam satu surat yang dihantar kepada Pengerusi Twitter, Bret Taylor.

Syarikat Twitter pada Isnin mengumumkan ia menerima tawaran daripada individu paling kaya di dunia, Elon Musk untuk membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (RM191.73 bilion).

Musk yang juga pengasas bersama syarikat kenderaan elektrik Tesla dilaporkan mencapai perjanjian dengan Twitter bagi membelinya secara tunai.

tesla-elon-musk-2016-580x358

Elon Musk bersama jenama kereta elektrik yang diasaskannya, Tesla. — Agensi

Kenapa Musk mahu beli Twitter

Ada beberapa sebab mengapa Musk mahu membeli Twitter dan pembelian itu sangat dinantikan oleh pengguna media sosial tersebut.

Antaranya adalah kehendak Musk sendiri yang mahukan Twitter menjadi platform di mana semua orang bebas bersuara tanpa sekatan.

Malah, Musk sebelum ini berkata yang Twitter tidak perlu memadamkan sebarang ciapan atau komen yang menyinggung perasaan.

Twitter setakat ini telah menyekat ciapan yang berbaur penghinaan, memalukan serta unsur yang boleh membawa kecederaan fizikal kepada orang lain.

Selain itu, Musk juga dilaporkan bakal mewujudkan semula butang edit bagi setiap ciapan yang buat masa sekarang memang tiada pada aplikasi Twitter.

Musk juga dikatakan mahu meluaskan lagi algoritma bagi setiap ciapan berbanding sekarang di mana Twitter yang akan menentukan sendiri keluasan capaian bagi setiap ciapan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram