LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mengutamakan bakal haji yang giliran tunai haji mereka pada 2020, diikuti giliran pada 2021 dan seterusnya 2022, bagi pemilihan jemaah haji tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, ia berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.
Jelasnya, rayuan haji melalui platform dalam talian iaitu aplikasi Tabung Haji Online (THiJARI) juga dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram.
"TH menasihatkan bakal jemaah supaya bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan termasuk sijil vaksinasi Covid-19 yang lengkap dan pasport antarabangsa.
"TH akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Amrin berkata, pengumuman itu merupakan satu berita baik untuk TH dan bakal jemaah haji dari Malaysia.
"Kami bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dan yakin penilaian serta penelitian semua aspek telah dibuat bagi memastikan keselamatan para jemaah haji yang datang dari segenap pelosok dunia terjamin.
"TH sudah memulakan persiapan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji sama ada di tanah air mahupun di tanah suci Mekah," ujarnya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Jumlah kuota itu menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram