Selepas menyanyi, Aliff Iskandar cebur bidang baharu


  • Hiburan
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Aliff Iskandar mengakui dirinya sudah berkeyakinan untuk bergelar seorang pelakon.

PERNAH menolak untuk bergelar seorang pelakon, penyanyi, Aliff Iskandar mengakui yang dia kini sudah bersedia untuk menyambut peluang yang ada dalam dunia lakonan.

Menurut Aliff, keyakinannya itu mula datang ketika dia terlibat dengan telemovie muzikal untuk tayangan raya yang dilakukan di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

"Sebenarnya itu adalah kali pertama saya memegang satu watak dalam sebuah telemovie bersama dengan seorang penerbit dan pengarah yang terkenal.

"Banyak yang saya belajar semasa menjalani penggambaran dan disebabkan itu juga, keyakinan untuk bergelar seorang pelakon itu mula timbul," katanya kepada Majoriti.

Mengakui pernah menolak tawaran berlakon sebelum ini, menurut Aliff, dia sebenarnya lebih selesa untuk fokus kepada bidang nyanyiannya ketika itu.

Malah kata penyanyi lagu Takdir itu, ketika ditawarkan sebelum ini dia masih merasakan dirinya terlalu mentah dalam industri.

"Memang ada tawaran sebelum ini tetapi keyakinan saya untuk berlakon yang tidak ada. Lagipun saya masih baru ketika itu dan peluang berlakon baru-baru ini yang sebenarnya banyak memberi pengalaman.

"Cuma kalau ada tawaran berlakon, saya tidaklah terlalu mengharapkan watak yang besar. Dapat tawaran watak sampingan pun sudah memadai kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari.

"Tetapi kalau ada yang yakin saya boleh bawa watak utama, apa salahnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram