
SEBANYAK 11,133 saman telah dikeluarkan kepada individu yang didapati merokok di kawasan larangan mulai awal tahun 2022 sehingga 6 April, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan itu berkata, sebanyak 28,835 premis telah diperiksa setakat 15 Mac, dengan 1,450 aduan mengenai aktiviti merokok di kawasan larangan diterima melalui talian WhatsApp Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya menyeru orang ramai untuk terus mengemukakan aduan mereka supaya jabatan kita yang berkaitan dapat melakukan pemeriksaan ke atas premis tersebut," katanya pada sidang media selepas melancarkan program masjid mQuit di Masjid Tuanku Sultan Mirzan Zainal Abidin, di Putrajaya pada Jumaat.
Mengulas mengenai isu rokok seludup, Khairy berkata, beliau akan mengadakan sesi dengan pihak berkepentingan berkaitan seperti polis dan jabatan kastam mengenai cara membendung isu itu.
"Kami bukan sahaja mahu memastikan rokok tidak dijual kepada mereka yang lahir sejak 2005, malah menghentikan rokok seludup," katanya.
Awal tahun ini, Khairy berkata, undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk mengharamkan aktiviti merokok dan memiliki produk tembakau, termasuk vape, bagi generasi yang lahir selepas 2005, sebagai generasi akhir untuk merokok di negara ini.
Beliau berkata, pengenalan undang-undang itu akan dapat mengurangkan pendedahan generasi akan datang kepada rokok dan produk tembakau, kerana penggunaan tembakau adalah punca utama kanser selain menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat kanser. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram