Keperluan SOP daftar masuk ke premis mungkin dimansuhkan


  • Primer
  • Rabu, 30 Mac 2022

FUNGSI daftar masuk MySejahtera akan dimansuhkan jika trend jangkitan tidak banyak perubahan selepas 1 April 2022. — Gambar hiasan/The Star

KEPERLUAN menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk ke premis-premis mungkin dimansuhkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, keputusan sama ada meneruskan atau memansuhkan SOP daftar masuk melalui MySejahtera itu, akan ditentukan berdasarkan trend jangkitan pandemik Covid-19 serta data mobiliti penduduk dan pengembara, apabila sempadan negara dibuka semula 1 April 2022.

"Penentuan berhubung perkara ini akan ambil masa hampir sebulan, kerana kita kena lihat pada trend ini.

"Sekiranya trend jangkitan tidak banyak perubahan dengan trend ketika ini, maka kita boleh ‘drop’ fungsi daftar masuk,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan dan ‘World Physical Activity Day’ 2022 di Putrajaya pada Rabu.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), bahawa sudah tiba masanya amalan mengimbas MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan, ketika negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022.

Kerajaan sebelum ini telah memansuhkan SOP berkaitan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk premis, pada 11 Februari 2022.

Mengenai isu berkaitan pemilikan aplikasi MySejahtera, Khairy berkata, KKM dijangka memuktamadkan rundingan bersama syarikat yang mengendalikan platform perisian aplikasi tersebut, dalam tempoh kira-kira sebulan.

"Proses rundingan sedang berjalan ketika ini. Namun ia ambil masa sedikit sebab agak teknikal,” katanya yang akan memberikan penjelasan berkenaan perkara itu di Dewan Negara pada Khamis.

Khairy berkata, rundingan itu diadakan setelah KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga pada tahun lepas, bertujuan melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.

Beliau berkata, perolehan tersebut telah dipersetujui Kementerian Kewangan pada 28 Februari 2022 untuk dilaksanakan, dan kini proses rundingannya telah dimulakan bagi memastikan ‘due diligence’ dilakukan dalam proses itu serta memelihara kepentingan kerajaan.

Khairy sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta, dan ia adalah hak milik kerajaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram