ISU kebersihan makanan di bazar Ramadan dilihat menjadi perhatian ramai sejak akhir-akhir ini.
Beberapa kes seperti penemuan segumpal rambut di bazar Ramadan Ipoh, Perak serta ulat dalam mi tonggek di bazar Ramadan Putrajaya dan kuih basi di Kuantan mencetuskan perhatian ramai.
Susulan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Jumaat mengarahkan penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan untuk mempertingkat penguatkuasaan di bazar Ramadan terutama yang mempunyai aduan tentang pencemaran makanan.
Beliau turut meminta pengguna membuat aduan sekiranya ada pencemaran makanan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjaga pasar malam atau bazar tersebut, boleh mengambil tindakan sewajarnya.
Mengulas isu tersebut, seorang peniaga makanan di bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang hanya dikenali sebagai Fadzil Shah, tindakan peniaga tersebut akan memberi impak negatif kepada golongan peniaga lain.
"Saya rasa isu kebersihan makanan dan premis ini perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh setiap peniaga.
"Apabila peniaga itu dah 'buat hal' di premisnya, sedikit sebanyak akan beri kesan peniaga di sesebuah bazar tersebut serta bazar di lokasi lain, sekali gus menyebabkan orang ramai akan kurang yakin untuk membeli makanan di bazar.
"Sepatutnya sebagai peniaga kena ambil perhatian isu kebersihan, tidak kira walau penat berniaga ketika bulan puasa atau pun tidak," katanya kepada Majoriti.
Gumpalan rambut yang ditemukan dalam kuih tepung pelita baru-baru ini. — Facebook
Tambahnya, tindakan sambil lewa atau kecuaian pihak terbabit bakal menyusahkan peniaga lain kerana setiap gerak geri mereka akan diperhatikan selepas ini.
"Sekiranya pihak berkuasa tak berpuas hati tentang cara pengoperasian kami, perniagaan berdepan risiko untuk ditutup, sekali gus boleh menutup periuk nasi kami.
"Saya harap setiap peniaga akan lebih berhati-hati dan lebih cakna tentang isu kebersihan kerana ia akan membahayakan kesihatan dan nyawa orang lain jika berlaku keracunan makanan," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram