Ulat dalam mi tonggek, KJ mahu penguatkuasaan keselamatan makanan bazar Ramadan dipertingkat


  • Primer
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Khairy mengarahkan tindakan diambil terhadap aduan pencemaran makanan. — Bernama

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada tentang kebersihan makanan yang dibeli di bazar Ramadan.

Ujar Khairy, penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan diarah mempertingkat penguatkuasaan di bazar Ramadan terutama yang mempunyai aduan tentang pencemaran makanan.

Jelasnya lagi, penguatkuasaan juga membolehkan tindakan segera diambil berhubung sebarang aduan berkaitan pencemaran makanan.

"Saya minta pengguna buat aduan sekiranya ada pencemaran makanan supaya pihak berkuasa tempatan yang jaga pasar malam atau bazar itu boleh ambil tindakan terhadap gerai berkenaan dan kementerian boleh turun laksanakan penguatkuasaan,” katanya ketika mengulas isu makanan tercemar yang dibeli pengguna di beberapa bazar Ramadan seperti yang tular baru-baru ini.

Pada Khamis, tular satu video di media sosial menunjukkan cacing dalam mi yang dibeli dari sebuah gerai di bazar Ramadan Putrajaya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran Perbadanan Putrajaya (PPj), Dr Mohd Helmi Abdul Hamid menerusi satu kenyataan berkata, pengawasan serta pemeriksaan dijalankan terhadap gerai berkenaan.

Tambahnya, PPj sudah mengeluarkan notis amaran kepada pengusaha gerai yang gagal memastikan kebersihan gerai tersebut.

"PPj akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Putrajaya untuk menguatkuasakan pengawasan dan pemeriksaan keselamatan dan kebersihan di semua gerai di bazar Ramadan Putrajaya," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram