Keputusan kes di Mahkamah Persekutuan akan tentukan status keahlian Umno Siti Bainun — Ahmad Maslan


  • Politik
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Gambar Siti Bainun (kanan) bersama dengan salah seorang pemimpin tertinggi Umno yang menimbulkan spekulasi orang ramai.

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan pemimpin serta parti tersebut dengan kontroversi membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Beliau membangkitkan perkara itu susulan gambar tular membabitkan dua pemimpin parti itu bersama wanita yang ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah susulan kes melibatkan kanak-kanak Sindrom Down.

Untuk rekod, Siti Bainun merupakan ahli Umno selain pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang serta calon Parlimen Belia Malaysia pada tahun 2018.

WhatsApp Image 2022-04-21 at 12.35.36 AM

Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita pada Khamis.

"Dalam parti Umno, kita nak buat kebaikan bukan buat kejahatan. Jadi, kalau ada ahli yang tergelincir, ia tidak boleh dikaitkan dengan Umno kerana Umno tidak pernah menyuruh membuat perkara begitu.

"Itu juga merupakan personal conduct, dan pada ketika perkara itu berlaku (sesi bergambar), mana ada Siti Bainun dikaitkan dengan apa-apa kes.

"Jadi, saya harapkan jangan dikaitkan dengan dua pemimpin parti itu, juga jangan dikaitkan dengan keahliannya dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Umno di ibu negara pada Khamis.

Terdahulu, tular gambar Siti Bainun bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada tahun 2016.

Selain itu, Siti Bainun juga dilihat bergambar bersama keluarga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali gus menimbulkan spekulasi orang ramai tentang hubung kait mereka.

Namun, Ahmad Zahid menafikan dakwaan beliau melindungi wanita itu yang dipercayai terbabit dalam kes penderaan seorang kanak-kanak.

Katanya, beliau juga tidak mungkin menolak permintaan orang ramai untuk bergambar.

Ketika ditanya sama ada Siti Bainun akan dipecat daripada parti itu sekiranya didapati bersalah, Ahmad Maslan berkata, pihaknya perlu tunggu sehingga kes berkenaan diputuskan di peringkat paling tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan.

"Rayuan ambil masa lama. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Perkara tak baik kita jadikan pengajaran.

"Dan memang menyedihkan dan kita amat simpati (kes dera), malah kita tak melindungi sesiapa. Dan mengenai (masalah) disiplin Umno, kita tunggu sehingga ke peringkat keputusan wajar.

"Kes mahkamah ada banyak, termasuk melibatkan Najib dan Zahid dan mereka juga menunggu keputusan akhir," jelasnya.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di ibu negara, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram