DUA kali gagal menjadi Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap perkara itu berlaku disebabkan atas faktor prinsip.
Menurutnya, dia sebelum itu sudah memiliki bukti surat sokongan ketua-ketua parti tertentu sewaktu mengumumkan pihaknya berjaya mendapatkan sokongan 'meyakinkan, kukuh dan kuat' bagi membentuk kembali kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.
Mengakui kegagalan beliau diangkat menjadi Perdana Menteri dalam dua situasi berbeza tahun itu menyebabkan kenyataan berkenaan dijadikan bahan sindiran banyak pihak, Anwar sebaliknya menjelaskan perkara itu tidak dapat direalisasikan disebabkan faktor prinsip.
Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu lagi, beliau kemudiannya membentangkan beberapa syarat prinsip penting yang harus dipenuhi ahli-ahli Parlimen parti lain setelah memperoleh angka sokongan majoriti diperlukan.
"Bila saya sebut sokongan convicing (meyakinkan), formidable (kukuh), walaupun diperolok-olokkan, itu berdasarkan surat ketua-ketua parti yang memang jumlahnya itu 'convincing dan formidable'.
"Itu dua tahun lalu. Saya masih pertahankan surat itu ada," katanya.
Dalam satu sidang akhbar bertarikh 23 September 2020, Anwar bersama kepimpinan PH mengumumkan pihaknya berjaya mendapatkan sokongan 'meyakinkan, kukuh dan kuat' bagi membentuk kembali kerajaan PH, susulan kejatuhan kerajaan koalisi itu pada bulan tahun sama.
Anwar mendakwa, sokongan ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya.
Dalam sidang akhbar itu, Anwar turut memberi bayangan kerajaan campuran yang bakal dibentuk terdiri kerajaan majoriti ahli Parlimen Melayu dan Islam, sekali gus mengundang spekulasi sokongan ahli Parlimen itu datangnya daripada Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bagaimanapun, usaha Anwar itu gagal kerana tidak dapat meyakinkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus mengundang keraguan banyak pihak terhadap perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan beliau kemudiannya membentangkan syarat prinsip yang harus dipatuhi oleh ahli-ahli Parlimen yang mahu menyokongnya dan bersedia bekerjasama dengan PH.
Antara syarat prinsip dikemukakan beliau adalah keperluan memenuhi dasar tidak boleh dikompromi seperti dasar perkauman sempit ditolak, rasuah ditolak, pematuhan tatakelola dan kepimpinan baik selain menetapkan tidak boleh mana-mana pihak menjatuhkan kerajaan 'ditengah-tengah' jalan sebagaimana berlaku terhadap kerajaan PH.
"Yang saya paling tak setuju adalah menjamin orang-orang yang terdakwa dan terkait dengan rasuah dilepaskan, itu saya tegas tidak bersedia walaupun ia mungkin bermakna saya tidak dapat menjadi Perdana Menteri.
"Perkara ini harus jelas kerana negara mesti selamat daripada kebobrokan, terutama terhadap kepimpinan yang mengaut kekayaan atau rasuah.
"Saya paling tidak bersedia untuk campur tangan urusan badan kehakiman yang semestinya bebas dan berwibawa kerana kita ada pengalaman dengan badan kehakiman dahulu lagi," katanya.
Berikutan itu, Anwar yang juga Pengerusi PH mengakui kegagalan sebilangan besar ahli Parlimen yang menyokongnya sebelum itu, mematuhi syarat-syarat prinsip ditetapkan beliau menyebabkan mereka kembali membuat keputusan pusingan U.
"Kalau disenangi pendirian saya, okay. Kalau tak boleh terima, tak sokong, itu masalah mereka. Syarat tu (saya kemukakan) dari awal perbincangan dengan saya langsung tidak berganjak daripadanya.
"Pokoknya begini, kerana syarat itulah saya gagal menjadi Perdana Menteri. Tapi saya tidak boleh khianat amanah rakyat," tegas Anwar. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram