Perjanjian bersama Pakatan terhenti setakat 31 Julai ini - Zahid Hamidi


  • Politik
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Kerjasama bipartisan dimeterai pada September 2021 dan bakal berakhir 31 Julai kelak.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada keperluan untuk melanjutkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja ia tamat pada 31 Julai.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu tidak memperbaharui MoU tersebut diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno pada Khamis selepas mengambil kira landskap politik semasa.

"Apa yang dimeterai antara kerajaan dan parti pembangkang adalah perjanjian dalam bentuk Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dan ia disifatkan sesuai pada ketika itu.

"Oleh kerana enam bulan sudah berlaku sejak ia dimeterai, Umno berpendapat tiada keperluan bagi mana-mana pihak untuk mencadangkan lanjutan MoU itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen adalah bergantung kepada prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Apa yang pasti, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk berunding dengan pihak atasan parti dan biro politik untuk menganalisis situasi politik semasa," jelasnya.

Ketika ditanya bila masa terbaik untuk berbuat demikian, Ahmad Zahid berkata: "Esok."

Ahmad Zahid. — Bernama

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, keputusan Umno meletakkan Ismail Sabri sebagai calon PM pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah bagi melaksanakan resolusi yang dibuat oleh perwakilan parti dalam perhimpunan agung parti sebelum ini.

"Perwakilan juga memutuskan bahawa isu berkaitan PRU15 yang melibatkan parti perlu dibincangkan bersama lima anggota tertinggi parti terdiri daripada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden," ujarnya.

Sementara itu, pada majlis berlainan di Putrajaya pada Jumaat, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengikut keputusan Umno untuk tidak melanjutkan MoU antara kerajaan dan PH.

"Itu adalah keputusannya dan apa-apa pun, tunggu selepas 31 Julai. Itu keputusan Majlis Tertinggi Umno pada Khamis (14 April)," katanya.

Dalam pada itu, PAS berkata, kerjasama bipartisan yang dilaksanakan sejak September lalu, membantu pemulihan ekonomi negara.

"Ia akan membantu pemulihan negara yang diterajui Ismail Sabri, dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan kehidupan rakyat marhaen," menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmad Zahid, parti, bipartisan, Umno, PH, BN, PRU15, PM, Ismail Sabri