UMNO memberi nasihat kepada PAS supaya tidak mengambil masa lama untuk membuat penafian berhubung isu dokumen bocor yang dikaitkan dengan parti Islam itu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah membaca laporan itu dan menganggap ia dilakukan pihak yang serius dalam mengatur agenda politik negara.
Beliau berpandangan, bukan orang 'biasa-biasa' yang menghasilkannya kerana penulisan dan arahan dalam dokumen itu begitu terperinci.
Katanya, kejadian itu adalan pengajaran buat Umno supaya lebih berhati-hati dengan dokumen penting terutama daripada segi tahap kerahsiaannya.
"PAS dah pun buat penafian tetapi sepatutnya ia dilakukan lebih cepat untuk mengelak ia lebih tersebar luas.
"Kelewatan penafian itu menyebabkan ia menjadi isu sensasi dan viral di media tertutup seperti WhatApp dan Instagram," katanya dalam pertemuan di Ibu Pejabat Umno di ibu negara pada Khamis.
Beliau diminta mengulas isu kebocoran dokumen di mana intipatinya berkaitan pertemuan antara Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan beberapa pemimpin pati itu dengan figura politik lain antara 24 Mac dan 1 April lalu.
Laporan itu juga mencatat dapatan yang dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu.
Malahan, kata Ahmad Maslan lagi, beliau juga tidak terkejut apabila PAS menafikan terlibat kerana dalam dinamikan politik baharu pelbagai perkara boleh berlaku.
"Penafian itu tidak memeranjatkan kerana selalunya perkara seperti ini akan dinafikan, jika betul pun ada yang nafi kerana ia memudaratkan," katanya.
Ditanya apakah PAS akan terus menjadi suspek dalam isu ini, beliau menjawab: "Apabila kita sudah tidak lagi bersama di Melaka dan Johor, maka segala kemungkinan boleh berlaku."
Ahli Parlimen Pontian itu memaklumkan situasi hampir sama pernah dialaminya melibatkan tiga surat menggunakan tandatangan dan kepala surat.
"Saya serta merta menafikan dan membuat ketetapan sebarang kenyataan rasmi perlu dikeluarkan melalui akaun sosial media rasmi," katanya dalam usaha untuk meredakan keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram