Bersatu bagi sebab Muhyiddin layak jadi PM ke-10


  • Politik
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Muhyiddin akan dicadang sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau adalah Presiden parti.

PARTI Pribumi Bersatu (Bersatu) memilih untuk meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika parti itu diberi peluang oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, bekas Perdana Mentei ke lapan itu dirasakan cukup layak menjadi calon Perdana Menteri berdasarkan kemampuannya mentadbir negara sebelum ini.

"Bersatu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang kerana beliau meletakkan jawatannya bukannya ditolak rakyat, sebaliknya ditolak oleh 15 ahli Parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Muhyiddin akan dicadang sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau adalah Presiden parti berbanding Umno yang hanya mencadangkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, berkata demikian ketika mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khamis lalu, yang mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang.

Katanya, walaupun semua parti boleh mencadangkan pimpinan tertinggi sebagai calon Perdana Menteri, Bersatu menganggap agak janggal apabila hanya pemimpin yang berada di kedudukan ketiga dalam parti dicadangkan Umno.

"Rakyat kehairanan, mengapa pemimpin yang berjawatan nombor tiga dicadangkan, ke manakah perginya dan adakah pemimpin berjawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak berkelayakan untuk dicalonkan," katanya.

Mengenai sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Razali berkata, Bersatu dan semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan.

Katanya, semua pimpinan tertinggi parti dalam PN tidak bercadang untuk tumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri seperti dilakukan 15 ahli parlimen BN ketika menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ogos lalu.

"Kita dan pemimpin parti dalam PN termasuk Pas akan terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehinggalah beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan," katanya. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram