UMNO memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan perkara itu juga diterima baik pemimpin parti itu serta pemimpin utama parti komponen Barisan Nasional (BN).
Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, keputusan itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa parti itu fokus kepada agenda membela rakyat dan sentiasa membuat sesuatu keputusan dalam semangat kesetiakawanan.
Ramai rakyat gembira dengan keputusan Umno itu terutamanya dalam kalangan pengundi BN kerana kepercayaan mereka atas kredibiliti yang ditunjukkan oleh Ismail Sabri sepanjang bergelar PM.
Namun tidak kurang juga ada pihak yang menganggap keputusan Umno itu adalah seiras dengan senario yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu iaitu meletakkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai 'poster boy' dan hakikatnya Datuk Onn Hafiz Datuk Ghazi dilantik menjadi Menteri Besar (MB) negeri itu.
Hasni Mohammad yang dikatakan menjadi 'poster boy' pada PRN Johor Mac lalu.
Demikian disampaikan pengguna Facebook, Amin Nordin kemungkinan peristiwa PRN Johor berulang yang mana Umno akan menggunakan Ismail Sabri sebagai 'poster boy' demi meraih undi rakyat.
Menurutnya, antara sebab utama Ismail Sabri dinamakan sebagai calon PM dari Umno-BN ialah kerana selaku perdana menteri, beliau popular dalam kalangan rakyat berhubung pemberian bonus raya dan I-Citra KWSP.
"Nama Ismail Sabri sedang harum manis disebabkan pemberian Bonus Raya dan I-Citra KWSP. Kononnya rakyat akan kembali sokong BN dan lupakan isu penyelewengan 1MDB dan penyelewengan dana Zahid Hamidi serta isu dari geng kluster mahkamah.
"Yang kedua ialah Umno-BN dalam krisis kepimpinan dan tidak dapat namakan dua nama (Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kerana nama kedua pemimpin ini sedang terpalit isu rasuah dan penyelewengan dana.
"Sebab ketiga ialah Umno-BN tiada calon lain selain Ismail Sabri," katanya.
Tangkap layar pendapat dari Pengguna Facebook, Amin Nordi.
Tambahnya, jika parti Umno-BN menggunakan senario seperti PRN Johor berkemungkinan pihak lawan akan berpecah dan tidak ramai rakyat yang akan keluar mengundi untuk PRU-15 nanti.
"Ternyata Umno-BN mengharapkan perkara sama berlaku dalam PRU15 nanti iaitu pesaing BN berpecah dan menakutkan supaya rakyat tidak keluar mengundi. Maka jika itu berlaku Umno-BN akan menang walaupun undian rendah.
"Agak-agak apa akan jadi jika betul-betul Umno-BN menang kerana pesaing berpecah?
"Jawapannya: Jika ambil kira resmi PRN Johor baru-baru ini semestinya calon PM ke-10 dari Umno-BN bukan Ismail Sabri sama seperti nasib menimpa Hasni," katanya.
Terdahulu, Hasni dikatakan menjadi calon MB Johor jika parti BN memenangi PRN Johor namun ianya berubah meskipun bekas MB Johor itu berjaya meraih undi dengan 43 peratus atas tiket popularitinya dalam kalangan rakyat negeri berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram