Ramai tak puas hati caj parkir hospital di Kelantan


  • Tular
  • Khamis, 21 Apr 2022

Pihak berkuasa mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang melakukan kesalahan meletak kenderaan di HRPZ II, Kota Bharu. — Facebook/Shahrul Fadhel

ISU kekurangan tempat letak kenderaan di hospital-hospital kerajaan bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah dibangkitkan sejak dahulu lagi.

Dengan jumlah pesakit yang ramai dalam satu-satu masa, parkir yang terdapat di kebanyakan hospital kerajaan tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang datang.

Pada Khamis, seorang pengguna Facebook, Shahrul Fadhel meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap pihak berkuasa yang mengeluarkan saman terhadap kenderaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, pelawat yang datang ke hospital itu dikenakan sehingga RM110 jika didapati melakukan kesalahan meletak kenderaan sepeti parkir di luar kotak atau melebihi masa.

"Agaknya, kenapa kita ke hospital? Adakah untuk berseronok dan lepak santai? Sudah tentu tidak. Mereka yang ke hospital ini sudah tentu yang mempunyai masalah kesihatan atau menemani orang sakit mendapatkan rawatan.

"Cuba bayangkan, bayar caj perkhidmatan hospital RM1. Tapi denda parkir kereta RM10, jika tidak bernasib baik kena RM110. Jika anda parkir di dalam petak yang disediakan tetapi sudah tamat masa bayaran, pesakit atau peneman kena saman RM10, itu sudah dikira nasib baik. Jika parkir di luar petak dan kena clamp, bayar dulu RM110 baru boleh balik rumah," katanya.

Tambahnya, parkir yang tidak mencukupi juga merupakan salah satu punca orang ramai meletakkan kenderaan di luar kotak.

Menurutnya, pihak berkuasa harus menggunakan budi bicara sebelum mengeluarkan saman dan tidak memikirkan pendapatan semata-mata.

"Saya faham jika parkir di luar petak yang disediakan dan menghalang lalu lintas wajarlah diambil tindakan, yang saya ingin persoalkan ialah kereta yang tamat tempoh bayaran dan parkir di petak yang disediakan, tetap disaman.

"Dalam Islam ada ihsan. Tidak bolehkan kamu memberi sedikit ihsan kamu kepada pesakit, peneman dan pekerja hospital," katanya.

Hasil pemeriksaan Majoriti mendapati bahawa saman adalah di bawah penguatkuasaan City Park dan bukannya Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Majoriti sedang menunggu respons pihak berkenaan berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram