Wanita Malaysia 'kantoi' guna lesen palsu di Australia


  • Tular
  • Khamis, 21 Apr 2022

Lesen memandu Malaysia yang dimiliki wanita itu. — Facebook

SEORANG wanita warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia selepas didapati memandu melebihi had laju dan memiliki lesen palsu.

Menurut pasukan Peronda Lebuhraya Griffith, wanita berusia 26 tahun itu ditahan pada 22 Disember lalu kira-kira jam 2 petang selepas dia memandu pada kelajuan 113km/j di laluan had laju 100km/j.

"Apabila diminta memberikan lesen memandu, dia mengeluarkan kad yang menyerupai lesen memandu Malaysia. Dia memandu berseorangan di dalam sebuah Honda Accord hitam.

"Hasil pemeriksaan di portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mendapati bahawa pemandu itu tidak mempunyai sebarang lesen. Pemeriksaan lanjut telah dijalankan di mana pegawai mengesan beberapa perkara yang tidak konsisten pada lesen yang ditunjukkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan lanjut menunjukkan wanita itu mempunyai lesen belajar memandu New South Wales.

Tambahnya, wanita yang sudah enam tahun menginap di New South Wales itu kemudian mengaku bahawa dia meminta seseorang individu untuk membuat lesen tersebut untuknya.

"Wanita itu diberikan notis atas tiga kesalahan iaitu tidak ditemani pemandu berlesen, pegawai polis atau pemeriksa, tidak mempamerkan plat L seperti yang ditetapkan dan memandu melebihi had laju," katanya

Menurutnya, Siasatan lanjut dengan pihak Interpol di Malaysia mendapati bahawa lesen memandu Malaysia yang dimilikinya adalah palsu.

Dia telah disabitkan di Mahkamah Griffith pada 13 April 2022 atas kesalahan memiliki dokumen palsu untuk mempengaruhi pihak berkuasa menjalankan tugas awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram