SEBUAH program cabaran dengan hadiah wang tunai RM10,000 yang ditawarkan oleh seorang Youtuber, Isa Isarb mengundang padah buat seroang wanita yang tidak sengaja dipijak selepas terjatuh di Garden Arena, Rawang, Selangor pada Selasa.
Cabaran tersebut mengajak 50 pengunjung terawal untuk melakukan beberapa aktiviti termasuk menimbang bulu tangkis dan seorang peserta terbaik akan memenangi wang tunai berkenaan.
Program yang diumumkan berlangsung kira-kira pukul 2 petang itu tular di media sosial apabila beberapa video insiden wanita berkenaan dipijak dan suaminya yang mengamuk tersebar di semua media sosial.
Dalam video yang tesebar, dipaparkan kejadian berkenaan berlaku selepas Isa melepaskan sekumpulan kira-kira 50 peserta yang datang ke cabaran tersebut di pagar padang berkenaan.
Wanita yang dipercayai sedang mengandung itu berada bersama suaminya sebelum kedua mereka berpusu-pusu ke tempat tengah padang.
Malangnya, wanita tersebut terjatuh sebelum dipijak pengunjung lain dari belakang.
Dalam video yang berbeza, dipaparkan seorang lelaki berbaju hijau dipercayai suami kepada wanita tersebut mengamuk dengan kejadian berkenaan.
Berlaku sedikit pertengkaran antara lelaki berkenaan dengan seorang individu lain yang mempersoalkan kenapa dia (suami) membawa isteri yang mengandung bersama.
Isa juga turut dilihat berada dalam video berkenaan yang mana dia cuba untuk menenangkan keadaan dan meminta maaf kepada suami wanita itu.
Majoriti cuba untuk menghubungi Isa bagi mengetahui perkembangan terkini tentang kejadian tersebut, bagaimanapun setakat ini dia masih mengunci mulut dan tidak memberikan sebarang respons. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram