Enam maut, lebih 500 tahanan lari akibat rusuhan di Depot Imigresen Sungai Bakap


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

Sebahagian tahanan imigresen Sungai Bakap yang meloloskan diri pada awal pagi Rabu. — Facebook

SATU kejadian rusuhan dilaporkan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang yang menyaksikan lebih 500 pendatang asing tanpa izin (Pati) melarikan diri awal pagi Rabu.

Rusuhan itu dipercayai bermula dengan protes yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi Rabu dengan membabitkan sejumlah 528 tahanan etnik Rohingya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kira-kira 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula setakat pukul 10 pagi Rabu.

"Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan grill penghadang. Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard dengan menghubungi pihak polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

"Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan orang ramai. Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari ini dipohon supaya memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen atau PDRM," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, enam tahanan maut Pati itu terlibat kemalangan jalan raya ketika cuba menyeberangi jalan semasa kekecohan berlaku.

"Mangsa ialah dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, satu kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki. Buat masa ini, polis sedang mengesan baki 205 tahanan lain," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

1557030

Antara kerosakan yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Imigresen, Sungai Bakap akibat rusuhan itu.

Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang.

"Hebahan telah dibuat kepada Gerakan IPD SPS bagi mencegah sebarang keadaan yang tidak diingini berlaku.

"Pihak depot juga telah maklum kepada IPD Bandar Baharu untuk tindakan susulan oleh kerana kawasan berkenaan dalam pentadbiran Bandar Baharu. Perkembangan diawasi," menurut satu kenyataan polis pada Rabu.

Sementara itu, operasi mengesan Pati yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram