Heboh ibu didakwa kelar leher anak ketika sahur, tapi gadis itu hanya diberi ubat luka, apa sebenarnya berlaku?


  • Benua
  • Selasa, 19 Apr 2022

Tangkap layar video seorang gadis menangis di luar rumah sambil lehernya yang kesakitan dipegang oleh seorang lelaki.

PIHAK polis menafikan khabar angin mengenai seorang gadis yang ditusuk pisau dileher ketika dikejutkan ibunya untuk bangun bersahur, di Desa Lubang Buaya, Cipayung, dekat Jakarta Timur, Indonesia pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Kombes Budi Sartono berkata, ketika kejadian pukul 3.30 pagi itu, wanita yang dikenali sebagai Y, 57 sedang menyiapkan makanan sahur bersama anaknya yang berusia 17 tahun di dapur rumah mereka.

Pada masa sama, wanita tersebut sedang memotong kek beras menggunakan pisau kecil.

"Kemudian, secara tidak sengaja terkena leher anaknya yang seterusnya menyebabkan pendarahan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wanita yang panik dengan kemalangan itu bergegas keluar dari rumah serta meminta pertolongan orang ramai untuk membawa anaknya ke hospital berdekatan.

Jelas Budi, ketika itu ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan dengan merakam video kejadian sebelum menularkannya di media sosial.

"Ada penduduk yang ambil video dan viralkan dengan berita palsu, 'ibu kelar leher anak bangunkan sahur'.

"Gadis itu hanya mengalami luka kecil, diberi Betadine (sejenis ubat) dan terus pulang ke rumahnya," katanya.

Terdahulu, tular sebuah video di laman TikTok memaparkan seorang gadis menangis kesakitan di luar rumah, sambil lehernya dipegang oleh seorang lelaki.

"Ini ditikam oleh ibunya," kata lelaki tersebut.

Tidak lama kemudian, datang seorang wanita bertudung menghampirinya dan mengaku sebagai ibu gadis tersebut.

Seorang wanita bertanya kepada ibunya sebab menikam anaknya, dan ibunya menjawab ringkas: "Bergaduh," — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram