Dua kanak-kanak antara enam Pati maut, polis perjelas insiden rusuhan Depot Imigresen Sungai Bakap


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

Antara kerosakan yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Imigresen, Sungai Bakap akibat rusuhan itu.

POLIS Kedah tidak menolak punca rusuhan membabitkan tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada awal pagi Rabu berkemungkinan akibat rasa tidak puas hati.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dilaksanakan pihaknya bagi mengetahui punca sebenar di sebalik insiden rusuhan terbabit.

"Kita tidak boleh nak tahu secara terperinci lagi (punca rusuhan) selagi siasatan lengkap, setakat ini belum siap, jadi kena tunggu siasatan lanjut untuk tahu punca sebenar

"Tetapi elemen tidak puas hati mungkin wujud sedikit, cuma secara butiran lanjutnya kena tunggu sehingga siasatan selesai," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Sidang akhbar itu juga ditayangkan secara langsung di Facebook MG TV Live.

Wan Hassan berkata lagi, sebuah pasukan siasatan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah, Datuk Suresh Kumar ditubuhkan untuk menyiasat dan mengenal pasti punca rusuhan tersebut.

Rakaman tular tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap pada awal pagi Rabu. — Facebook

Menurutnya, setakat ini, seramai 362 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah berjaya ditangkap semula dan polis masih mengesan baki 176 tahanan yang kesemuanya adalah etnik Rohingya itu.

"Polis sudah berjaya menahan semula 362 tahanan setakat ini. Jadi jumlah Pati dalam tahanan kini adalah seramai 488 orang termasuk 136 yang ada dalam depot," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 224 dan 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan lari dari tahanan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sejumlah 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri daripada Depot Imigresen Sungai Bakap dalam kejadian rusuhan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, enam tahanan maut itu terlibat kemalangan jalan raya ketika cuba menyeberangi lebuh raya kira-kira lapan kilometer dari lokasi depot.

"Mangsa ialah dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, satu kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki. Buat masa ini, polis sedang mengesan baki 205 tahanan lain," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram