JABATAN Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan gudang sebuah pasar raya di Jasin, Melaka ditutup selama 14 hari selepas najis kucing dan bahan cemar lain ditemukan di situ.
Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, najis kucing boleh membawa kepada toksoplasmosis kepada manusia.
"Pihak pengurusan pasar raya itu juga dikenakan notis kompaun kerana tidak memastikan keselamatan makanan," katanya pada Khamis selepas mengetuai pemeriksaan keselamatan makanan mengejut sempena musim Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Muhamad Akmal berkata, pihak berkuasa kesihatan turut menjumpai pek makanan melepasi tarikh luputnya di rak pasar raya itu.
Beliau berkata, premis yang sama didapati menjual daging ayam busuk.
“Adalah (tanggungjawab) kita untuk menangani risiko keselamatan makanan dan mencegah keracunan makanan.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan barangan yang boleh dimakan segar dan tidak tercemar dijual kepada rakyat,” katanya.

Najis haiwan yang ditemukan di gudang pasar raya berkenaan. — Bernama
Muhamad Akmal berkata, pihak berkuasa kesihatan negeri sudah mengeluarkan lima notis kompaun berjumlah RM15,000 sejak 11 April lalu kepada pelbagai premis kerana mengabaikan keselamatan makanan.
Beliau menambah, sebanyak 790 bungkusan makanan bernilai RM4,743 dirampas dan sejumlah RM38,500 dalam bentuk notis kompaun dikeluarkan, dari Januari tahun ini hingga Khamis.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu di Ayer Keroh, Melaka akan ditutup mulai 30 April.
Beliau berkata, penutupan itu memandangkan penurunan mendadak dalam kadar jangkitan Covid-19.
Jelasnya, pesakit berisiko tinggi kemudiannya akan dirawat di Hospital Melaka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
