Gara-gara gelagat Milli makan pulut mangga di California, permintaan menu itu berlipat ganda di Thailand


  • Benua
  • Rabu, 20 Apr 2022

MIll menjadi tular di festival Coachella apabila dia mejamu pulut mangga di atas pentas.— Agensi

KEDAI pulut mangga, Mae Varee yang terkenal di Bangkok hampir tidak dapat memenuhi permintaan sejak beberapa hari kebelakangan ini, hinggakan ramai penghantar makanan beratur di luar premis untuk mengambil pesanan.

Situasi itu turut mengundang kehadiran pihak polis yang bimbang kenderaan pekerja khidmat e-hailing itu menghalang lalu lintas.

"Semalam kami perlu menutup tempahan penghantaran dari semasa ke semasa kerana tidak dapat menyediakan [pulut] tepat pada masanya," kata Naparom Suntiparadorn, yang keluarganya memiliki kedai itu.

Pada Ahad, pesanan penghantaran adalah enam atau tujuh kali lebih tinggi daripada biasa.

Kegilaan itu berlaku selepas penyanyi rap berusia 19 tahun, Milli yang menjadi orang Thai pertama yang membuat persembahan solo di festival Coachella di California, Amerika Syarikat dan turut tular kerana menjamu pulut mangga di atas pentas.

Pada festival itu, Milli yang turut menyatakan kritikannya terhadap stereotaip klise Thailand: “Saya tidak menunggang gajah."

“Negara ini baik, rakyatnya baik, makanan kita sedap tetapi kerajaan itu rosak,” katanya.

Sejak itu, permintaan untuk salah satu pencuci mulut yang paling terkenal di negara itu iaitu pulut mangga telah meningkat di Thailand.

Satu aplikasi penghantaran makanan popular memberitahu media Thai bahawa, pesanan lebih daripada tiga kali ganda dalam masa 24 jam selepas persembahan Milli.

Media sosial telah dipenuhi dengan imej pencuci mulut itu, satu meme menggantikan Monumen Demokrasi Bangkok dengan timbunan besar pulut dan empat keping mangga.

Kerajaan telah berusaha untuk memanfaatkan trend itu, walaupun Milli mengkritik keras kepimpinannya.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha berkata, kementerian kebudayaan mungkin mencadangkan pengiktirafan pulut mangga atau khao nieo mamuang dalam bahasa Thai sebagai sebagai item warisan budaya Thai melalui Unesco.

“Adalah penting bagi Thailand untuk menggunakan kuasa lembutnya di luar negara. Kami mempunyai banyak sumber yang boleh dipromosikan di pentas antarabangsa,” kata Prayuth, menurut Bangkok Post.

Tahun lalu Milli atau nama sebenarnya Danupha Khanatheerakul didenda 2,000 baht (kira-kira RM252) kerana "penghinaan awam" selepas dia mengkritik kerajaan berkaitan Covid-19.

Bagi kedai-kedai yang menjual pencuci mulut, fenomena ini adalah kelegaan buat mereka.

Menurut Naparom, sebelum wabak Covid-19, kebanyakan pelanggan Mae Varee adalah pelancong, tetapi kini mereka bergantung kepada pelanggan tempatan kerana sektor pelancongan masih belum pulih.

“Nasi perlu dalam bentuk yang sempurna. Kami membersihkannya dengan baik dan mengukusnya. Kelapa itu berasal dari wilayah Surat Thani. Kami merenehkannya.

"Rasanya manis, tetapi tidak terlalu manis, dan beraroma. Mangga kami juga beraroma. Ia mempunyai rasa manis semula jadi. Signatur kami ialah taburan kacang hijau rangup di atasnya," ujarnya.

Malahan Naparom turut mengalu-alukan pengiktirafan Unesco untuk pulut mangga seperti dicadangan perdana menteri negara itu.

"Saya rasa ia seperti keperluan buat negara ini kerana anda perlu datang ke Thailand untuk merasainya kerana rasanya tidak akan sama jika anda memakannya di tempat lain," jelasnya.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram