PERTUBUHAN amal Arab Saudi sekali lagi mula menunaikan kewajipan bagi agama Islam yang paling penting pada bulan Ramadan iaitu mengadakan aktiviti amal jariah ke arah pembangunan masyarakat.
Mereka juga mengajar generasi muda tentang kepentingan berkongsi antara satu sama lain.
Sebagai sebahagian daripada budaya Arab Saudi, golongan tua dalam sesebuah keluarga akan menggalakkan anak-anak muda untuk mengambil bahagian dalam acara amal dan membantu mereka memahami kepentingannya serta membawa tradisi berkenaan ke masa akan datang.
“Saya berumur 15 tahun dan sudah melakukan ini sejak masih kecil bersama bapa dan adik beradik saya. Mereka malahan pernah menggendong saya di bahu.
“Ibu saya akan menyediakan makanan dan saya serta adik beradik akan membantu membungkusnya. Ayah saya akan pulang dari kerja untuk membawa kami ke kawasan kejiranan yang berbeza.
"Kami akan meletakkan kenderaan dan memberi kurma, gula-gula, air dan laban. Dalam keluarga, kami amalkan pepatah 'kami dapat apa yang kami berikan' dan Tuhan mengasihi mereka yang beramal,” kata Razan Ahmed, pelajar Arab Saudi di Jeddah.
Sukarelawan Khutwat Khair mengedarkan juadah berbuka puasa di Riyadh. — Agensi
Khutwat Khair, kumpulan sukarelawan di Riyadh, bertujuan meningkatkan kesedaran, dengan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan, membantu komuniti yang memerlukan serta memberi peluang kepada generasi muda untuk mengambil bahagian dalam amal jariah.
“Semasa Ramadan kami menjalankan kempen selama sebulan yang dipanggil '30 hari memberi'.
"Para sukarelawan menjalankan beberapa inisiatif mensasarkan seramai mungkin ahli komuniti.
“Kami menjadi tuan rumah kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang bulan ini, termasuk persatuan kanser kanak-kanak dan pertubuhan Orang Kelainan Upaya (OKU); serta masjid-masjid besar dan kawasan kejiranan yang membangun.
"Kami bekerjasama dengan organisasi ini untuk mencipta aktiviti unik buat mereka dan meningkatkan kesedaran tentang tujuan mereka; termasuk bekerjasama dengan institusi besar dari restoran hingga tempat awam," kata ketua projek di Riyadh, Lulwah Alajlan.
Sepanjang Ramadan, para sukarelawan menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur untuk kawasan kejiranan yang berbeza di Riyadh.
“Kami memberi peluang kepada belia untuk mengambil bahagian dan menghargai dunia di sekeliling mereka.
"Inisiatif lain pada bulan ini adalah membantu keluarga yang memerlukan membuat persiapan untuk Aidilfitri dengan menyediakan keperluan mereka menyambut perayaan tersebut,” ujar Lulwah lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram