Hati-hati, tahanan masih bebas dikhuatiri mencuri, pecah masuk rumah penduduk kerana lapar - Polis


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

Sebahagian tahanan imigresen Sungai Bakap yang berjaya ditahan semula. — Facebook

POLIS bimbang baki lebih 170 pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya yang masih bebas setelah meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada awal pagi Rabu, bertindak di luar kawalan dengan menceroboh masuk rumah penduduk setempat.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ini kerana mungkin sebahagian besar mereka berada dalam kelaparan kerana berpuasa dan cenderung bertindak agresif untuk melakukan jenayah lain seperti mencuri.

"Kita bimbang mereka kelaparan sebab mungkin ada yang berpuasa, jadi kita khuatir ada elemen mencuri, pecah masuk rumah orang dan sebagainya.

"Jadi, polis nak minta kerjasama orang awam kalau ada insiden mencurigakan, segera maklum kepada polis untuk kita buat tangkapan segera," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Sidang akhbar itu juga ditayangkan secara langsung di Facebook MG TV Live.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, pihaknya juga mendapat maklumat ada antara tahanan terbabit yang menahan kenderaan orang awam untuk melarikan diri.

Rakaman tular tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap pada awal pagi Rabu. — Facebook

Beliau memaklumkan bahawa, polis telah melaksanakan 13 sekatan jalan raya (SJR) melibatkan tiga kawasan bagi menangkap baki 176 tahanan yang masih bebas.

"Kita buka empat SJR di Bandar Baharu, Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang (empat) dan lima lagi di Kulim.

"Polis percaya mereka tak dapat pergi jauh dan insya-ALLAH kita dapat tangkap semula.

"Polis juga memohon kerjasama daripada masyarakat kalau nampak ada kumpulan dipercayai tahanan Rohingya keluar berkaki ayam, tolong maklum segera untuk tangkapan semula," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kawalan keselamatan semasa kejadian rusuhan, Wan Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan ada 23 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) terlibat.

"Tapi mungkin sebab tempat itu agak sempit, apabila berlaku rusuhan melibat jumlah tahanan yang besar, saya ingat mereka tidak mampu untuk mengawal.

"Jadi JIM hubungi polis untuk minta bantuan kesan dan tangkap semula separuh daripada tahanan berkenaan," katanya sambil memberitahu tiada kecederaan melibatkan anggota JIM dilaporkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram