Kelam kabut lari, empat suspek ditahan polis kantoi bawa dadah


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

Tangkap layar rakaman tular suspek melanggar kenderaan lain ketika cuba melarikan diri daripada polis. — Facebook

SERAMAI empat lelaki ditangkap dalam cubaan mereka melarikan diri daripada diperiksa sepasukan polis dalam satu insiden di Satok, Kuching, Sarawak pada Selasa.

Menurut laporan Borneo Post, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah mengesahkan tangkapan tersebut dilakukan kira-kira 2.30 petang.

Menurutnya, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu dan Erimin 5 daripada suspek.

"Tangkapan adalah hasil risikan dan operasi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun dan hasil pemeriksaan polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 103 gram dan Erimin 5 (64 biji), bernilai keseluruhan kira-kira RM13,200," katanya.

Rakaman tular suspek melanggar kenderaan lain ketika cuba melarikan diri daripada polis. — Facebook

Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Mereke turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya.

Justeru orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tangkapan tersebut yang videonya tular di media sosial.

Pada Selasa, tular di media sosial beberapa video dan gambar sebuah kereta yang dinaiki suspek, melanggar kereta lain dalam cubaan melarikan diri daripada pihak polis.

Beberapa lelaki yang dipercayai anggota polis berpakaian preman dilihat berjaya mengawal keadaan dan menangkap kesemua suspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram