Juragan usia 64 tahun ditahan bantu siasatan bot karam di Semporna


  • 112
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Anggota APMM melakukan usaha mencari dua mangsa yang masih lemas di Semporna, Sabah.

POLIS pada Jumaat menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun yang merupakan juragan sebuah bot yang karam, menyebabkan lima penumpangnya lemas berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di Semporna, Sabah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penahanan lelaki itu adalah bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

"Pihak polis telah membuat tangkapan pada 12.50 tengah hari Jumaat dan beliau akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak masih hilang iaitu Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

Screenshot 2022-04-15 165320

Anggota APMM memantau keadaan sekeliling dalam usaha mencari mangsa masih hilang. — Bernama

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, lima mangsa yang meninggal dunia, dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4 tahun.

"Lima mangsa yang meninggal dunia dan dua mangsa yang hilang itu mempunyai ikatan kekeluargaan, lokasi pencarian kini diluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Dalam pada itu, Norrimi berkata, lebih kira-kira 60 anggota penyelamat terdiri daripada APMM, bomba serta Pasukan Polis Marin dan orang kampung, kini giat melakukan pencarian dua mangsa yang belum ditemui.

Menurutnya, kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

APMM, mangsa, bot karam, Semporna, lemas, juragan