LIMA individu ditemukan lemas apabila sebuah bot pam membawa 20 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata dekat Semporna, Sabah lewat malam Khamis.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, 13 penumpang bot itu berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari kampung Sungai Nakit dekat Semporna, masih hilang.
Beliau berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki, berumur antara satu hingga 33 tahun.
Katanya, bot tersebut dipercayai membawa beban lebih muatan.
"Semua 20 mangsa ini dipercayai warga tempatan dan mereka ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam tadi dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Norrimi berkata, operasi tersebut membabitkan 11 anggota serta dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta satu bot aluminium.
Katanya, kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan Semporna.
Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah terletak lebih 555 km dari Kota Kinabalu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram