MAHKAMAH wilayah Nonthaburi mengeluarkan waran tangkap terhadap rakan mendiang pelakon TV Nida 'Tangmo' Patcharaveerapong pada Sabtu atas dakwaan kecuaian yang membawa kepada kematian.
Menurut polis, suspek ketiga, Wisapat 'Sand' Manomairat, 35, adalah individu terakhir yang bersama Tangmo ketika aktres itu terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya, Thailand dan lemas pada malam 24 Februari lalu.
Sementara itu, polis Nonthaburi memfailkan dua pertuduhan tambahan terhadap dua lagi suspek iaitu pemilik bot laju Tanupat 'Por' Lerttaweewit dan pemilik yang juga jurumudi bot, Phaiboon 'Robert' Trikanjananun telah didakwa atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Superintendan Kolonel Jaturon Anurak berkata, kedua-dua suspek tiba di balai polis pada Sabtu mengikut syarat jaminan mereka.
Tambahnya, mereka juga akan menghadapi pertuduhan memberi kenyataan palsu kepada polis mengenai minuman keras yang diminum di atas bot laju pada malam kejadian selain didakwa memusnahkan bukti berkaitan kes Tangmo.
ROBERT (baju-T putih) dan Por meninggalkan balai polis wilayah Muang pada Sabtu. — Agensi
"Kedua-dua lelaki tersebut mesti melaporkan diri kepada polis setiap lima hari di bawah syarat jaminan mereka," katanya seperti dipetik Thai PBS World pada Sabtu.
Sebelum ini, Robert mengaku mengakibatkan bot itu tersentak sekali gus menyebabkan Tangmo terhumban ke Sungai Chao Phraya.
Mereka berdepan pertuduhan mengendalikan kapal tidak berlesen dan kecuaian yang membawa kepada kematian.
Setakat ini, siasatan kematian Tangmo oleh polis Nonthaburi tidak mendatangkan sebarang perkembangan.
Dua bedah siasat berasingan telah dilakukan oleh Institut Perubatan Forensik Hospital Besar Polis dan Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Kehakiman (CIFS), dalam usaha untuk menentukan punca sebenar kematian Tangmo.
Terdahulu, media Thailand melaporkan bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Tangmo mengesahkan terdapat 22 kesan luka di kakinya.
Bagaimanapun, pihak pakar patologi, CIFS tidak menemui sebarang kesan gigi dan tulang yang patah atau luka di muka serta kepala Tangmo seperti dibangkitkan oleh ibunya, Panida Sirayootyotin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram