SEORANG warga emas lemas di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Bawah Gunung, di Baling, Kedah pada Isnin selepas seorang pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) maut di sungai yang sama beberapa hari lepas.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, anak lelaki mangsa berusia 54 tahun yang tinggal di kampung sama memaklumkan kejadian yang berlaku pada 2.30 pagi itu kepada polis.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku di Sungai Ketil di Baling. Allahyarham sakit dan pergerakannya terhad berikutan usia lanjut dan nyanyuk," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, isteri mangsa menyedari suaminya tiada di sisi kira-kira jam 2 pagi.
Tambahnya, isteri mangsa menyedari pintu belakang rumah mereka terbuka dan memaklumkan ahli keluarga serta jiran sebelum melakukan pemeriksaan di rumah mereka.
“Mereka kemudian menemui kesan pada tanah menunjukkan seseorang tergelincir berhampiran cerun sungai kira-kira 15 kaki dari pintu belakang rumah,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 10.30 pagi dan mayat mangsa ditemui di sungai berhampiran Masjid Ridzwaniah pada 11.20 pagi kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke balai polis Baling untuk dokumentasi serta proses pengecaman mayat oleh ahli keluarga berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Pada Khamis, mayat pelatih AMD, Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram