Asyik berswafoto, rakan tak sedar budak 12 tahun lemas dalam kolam projek LPG


  • Benua
  • Selasa, 12 Apr 2022

Penduduk setempat membawa mangsa yang lemas keluar dari lokasi kejadian. — Agensi

SEORANG pelajar sekolah rendah ditemui mati dalam lubang galian tangki pembinaan Stesen Pengisian dan Pengangkutan Pukal LPG (SPPBE) di Minanga Lembang, Daerah Mengkendek di Sulawesi Selatan.

Lebih malang apabila mangsa dipercayai meninggal dunia ketika mengambil swafoto di kawasan pembinaan SPPBE itu.

Ketua Polis Menkendek, Ajun Komisioner, Ta'ba Ta'bilangi berkata, mangsa ditemukan mati dalam lubang galian pada Ahad (10 April lalu).

Menurut Ta'ba, pada mulanya mangsa mengajak dua rakannya bergambar di tapak projek SPPBE Minanga Lembang.

"Mereka pergi ke lokasi dengan menaiki dua motosikal. Setibanya di lokasi, dua rakan mangsa hanya ingin melihat pemandangan sekeliling dari tepi tapak projek," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ketika itu, katanya, rakan mangsa yang juga saksi kejadian mengaku tidak tahu bahawa mangsa datang ke lokasi berkenaan untuk berenang di kawasan terbabit.

|

Lubang tangki yang ditenggelami air itu berada di tengah-tengah tapak projek. — Agensi

Katanya, lubang tangki yang ditenggelami air itu berada di tengah-tengah tapak projek.

"Setelah beberapa ketika, saksi mencari mangsa dan menemui selipar dan pakaiannya betul-betul di tepi lubang galian tangki. Mereka berenang mencari mangsa tetapi tidak menjumpainya," jelasnya.

Selepas gagal menemui mangsa, saksi akhirnya meminta bantuan penduduk setempat yang kemudian menemui mangsa di bahagian dasar lubang gali tangki.

"Mangsa segera dikejarkan ke Pusat Kesihatan Ge'tengan untuk mendapatkan rawatan, namun setibanya di situ dia disahkan meninggal dunia," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram