TABIAT membuat baja kompos oleh seorang penduduk telah menyebabkan pencemaran bau di Seksyen 22, Petaling Jaya, Selangor sekali gus menyusahkan jiran-jiran di sekeliling rumah berkenaan.
Walaupun aduan dibuat Persatuan Penduduk Seksyen 22 (S22RA) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), penghuni rumah terbabit masih giat mengompos sisa makanan.
Pengerusi RA Seksyen 22, Parimala Nesamany berkata, MBPJ menyedari masalah itu tetapi lambat mengambil tindakan.
“Jiran itu berusia lewat 70-an. Kompos itu ditinggalkan dalam 16 tong besar yang terletak di halaman rumahnya yang menghadap rumah lain.
“Terdapat bau busuk dari tong-tong besar itu dan ia menjejaskan kualiti hidup penduduk di sini.
"Bau itu dibawa oleh angin jadi ia memberi kesan kepada semua orang," katanya sambil menambah bahawa baja kompos itu berbau seperti kumbahan.
Seorang jiran, yang enggan dikenali berkata, tingkap rumahnya ditutup sepanjang masa selain tidak dapat mengeringkan pakaian di luar kerana bau busuk.
“Baunya sangat teruk. Adakah selamat untuk orang menghidu bau ini? Ini jelas pencemaran bau,” kata jiran itu.
Parimala berkata, penghuni rumah terbabit tidak mempunyai empati terhadap jiran-jiran lain termasuk penduduk di SS1 yang turut membuat aduan berhubung bau itu.
"Kerja membuat kompos giat dilakukan pada waktu petang. Masalahnya menjadi lebih teruk pada lewat petang,” kata Parimala.
Seorang lagi jiran yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, dia bimbang dengan kesihatan cucunya yang menghidap kanser dan terpaksa menahan bau itu.
"Mengapa orang tidak boleh mengambil berat tentang kesejahteraan jiran mereka?
“Pihak berkuasa mesti mengambil langkah proaktif untuk menghentikan gangguan ini. Kenapa MBPJ lambat bertindak atas isu ini?
"Kami tiada pilihan selain mungkin menghubungi Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut," kata jiran itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, beliau akan meneliti masalah itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
