SEORANG lelaki berusia 46 tahun yang ditangkap di kawasan Beach Road, Singapura pada petang Khamis bakal didakwa atas tuduhan cuba membunuh, kata Pasukan Polis Singapura (SPF).
Mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun, dipercayai adalah isterinya, tambah polis.
Polis berkata, pihaknya menerima laporan kes di 75 Beach Road itu kira-kira 5.30 petang.
Siasatan awal mendapati lelaki tersebut didakwa menyerang wanita berkenaan dengan menggunakan parang.
Sebelum pihak berkuasa tiba, dia dipercayai telah mengelar pergelangan tangannya sendiri.
“Beberapa orang awam telah campur tangan untuk membantu mangsa dan menghalang lelaki itu daripada terus mencederakan lagi mangsa.
"Pegawai polis tiba di tempat kejadian, mengesan lelaki bersenjata itu dan menggunakan senjata renjat untuk melumpuhkannya,” tambah SPF menurut laporan The Straits Times.
Lelaki itu berjaya ditahan dan dia dibawa ke hospital bersama mangsa dalam keadaan sedarkan diri.
Parang itu juga dirampas dan siasatan polis sedang dijalankan.
Dia akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (16 April). Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup, penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.
Penolong Pesuruhjaya Polis, Jeremy Ang turut memuji orang ramai yang telah campur tangan bagi menghalang lelaki itu daripada mendatangkan kemudaratan lebih teruk kepada wanita terbabit.
Tambahnya, polis sedia maklum tentang rakaman video tular mengenai insiden tersebut dan meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi tentang kejadian berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram